am@hmetro.com.my
Kulai: Mahkamah Majistret Kulai, di sini, hari ini, memberi amaran kepada pengawal keselamatan, KR Pathma Seelan, 22, untuk tidak mengulangi perbuatan memarahi anggota polis pada masa akan datang.
Amaran itu dikeluarkan Majistret R Salini selepas menjatuhi hukuman denda RM500 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah, atas pertuduhan berkelakuan rusuh dan meninggikan suara terhadap anggota polis dalam perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini, Isnin lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Pathma Seelan didapati berkelakuan rusuh dalam bangunan balai polis dengan mengganggu dan meninggikan suara terhadap seorang anggota polis.
Perbuatan itu dilakukannya di perkarangan IPD Kulai, 7.10 malam, 17 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dibuat Pegawai Pendakwa PDRM Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pathma Seelan yang masih bujang memohon mahkamah meringankan hukuman kerana bekerja seorang dengan berpendapatan RM1,200 sebulan dan menyara ibunya.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, anggota polis itu sedang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Kulai sebelum terdengar kekecohan di perkarangan lobi IPD Kulai.
Anggota itu kemudiannya keluar untuk membuat pemeriksaan sebelum didatangi tertuduh yang meninggikan suara serta memarahinya ketika dia mahu menenangkan kekecohan itu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee memaklumkan, empat lelaki berumur 17 hingga 23 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam video tular memarahi seorang anggota polis di hadapan IPD Kulai.
© New Straits Times Press (M) Bhd