MELAKA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus komited dalam memperkasakan usahawan bumiputera dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan termasuk pinjaman bagi merangsang sosio ekonomi mereka.
Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, ekosistem Mara sangat meluas dengan menyediakan bajet yang besar semata-mata untuk membantu lebih ramai bumiputera menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Menurutnya, peranan Mara tidak pernah terpesong daripada landasan sebenar membantu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan bumiputera meliputi pelbagai bidang perniagaan.
FOKUS
“Sememangnya fokus utama Mara terhadap isu pemerkasaan usahawan bumiputera kerana pembabitan aktif dalam pelbagai sektor mampu menjanjikan perniagaan dijalankan, selain dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Bukan setakat pinjaman tetapi sokongan yang diberikan seperti menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan giat dijalankan oleh Mara, terutama melahirkan lebih ramai usahawan termasuk dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan,” katanya sewaktu melawat ladang solar milik Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) di Kompleks Hijau, Ayer Keroh di sini baru-baru ini.
Tambah Azizah, Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL-MICET) di Taboh Naning, Alor Gajah bakal melahirkan ramai usahawan dalam bidang pemprosesan dan teknologi makanan.
“Sewaktu melawat UniKL-MICET saya kagum universiti berkenaan banyak melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menjadi pengeluar makanan berkualiti bagi kegunaan dalam negara serta untuk tujuan eksport.
“Saya juga sempat melancarkan satu produk kecantikan oleh tenaga pengajar UniKL-MICET menggunakan tumbuhan tempatan iaitu bunga telang. Ini salah satu cara menghasilkan produk di negara ini,” katanya.
Mengenai ladang solar pula, beliau berkata, Mara menyokong penuh kesediaan Gading Kencana yang ingin melahirkan lebih ramai vendor dalam kalangan bumiputera untuk menceburi bidang berkenaan.
Jelasnya, syarikat itu kian berkembang pesat sejak 2014 dan telah menyediakan banyak peluang pekerjaan, selain memberikan latihan dalam bidang tenaga solar kepada pelajar-pelajar di institusi pendidikan Mara.
“Mara yakin Gading Kencana mampu melahirkan lebih banyak usahawan pemasang panel tenaga solar kerana pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang tenaga solar tidak dinafikan lagi,” ujarnya. – UTUSAN