Pelakon, Rozita Che Wan atau Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy kini berdepan pemfailan kebankrapan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) susulan kegagalan membayar balik pinjaman mencecah RM1 juta.
Gagal bayar hutang sejak 2017
Memetik laporan daripada Harian Metro, pemfailan tersebut diuruskan oleh Bahagian Undang-Undang MARA setelah pelbagai cara telah diambil sejak 2017 untuk mendapatkan kembali wang berkenaan, namun akhirnya terpaksa membawa isu itu ke peringkat mahkamah.
BACA: Rozita Che Wan Respon Isu Hutang RM1 Juta MARA
Pada Julai tahun lalu, MARA sebenarnya telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Rozita dan anaknya. Namun, disebabkan isu teknikal, notis tersebut ditarik balik sebelum diteruskan dengan tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan (WSS) ke atas harta pelakon itu pada Selasa lalu.
Difahamkan, syarikat RCW Worldwide Sdn Bhd milik Che Ta telah membuat pinjaman sebanyak RM960,000 daripada MARA, dengan anak lelakinya bertindak sebagai penjamin.
Pengerusi MARA tegas, semua peminjam dilayan sama rata
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tindakan kebankrapan terhadap Rozita hanya akan dihentikan jika keseluruhan pinjaman dilangsaikan. MARA juga tidak akan mempertimbangkan sebarang lanjutan tempoh pembayaran selepas mahkamah membuat keputusan akhir mengenai kes tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut adalah prosedur standard yang dilaksanakan MARA terhadap mana-mana peminjam yang gagal atau enggan melunaskan hutang seperti termaktub dalam perjanjian, meskipun pelbagai kemudahan pembayaran telah diberikan sebelumnya.
Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang MARA mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.
#OhmediaNasihat
Berdasarkan kenyataan pihak MARA, tindakan ini dilihat berasas dan selari dengan prinsip keadilan. Dalam Islam, membayar hutang adalah kewajipan yang dituntut, kerana ia bukan sahaja menjaga amanah tetapi juga menyucikan diri daripada tanggungan dunia dan akhirat.