KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) terus komited
menyantuni golongan memerlukan menerusi misi bantuan kemanusiaan bulan Ramadan
tiga kawasan di Kedah baru-baru ini.
Bendahari Mapim, Muhammad Hidayat Abdullah berkata, misi fasa pertama itu menerusi
pengagihan bantuan kepada 15 keluarga asnaf, pesakit kronik dan anak yatim di Pokok
Sena, Changlun dan Jitra.
Menurutnya, bantuan tersebut diagihkan sebagai sebahagian daripada keseluruhan 450
kotak sumbangan yang disalurkan oleh pasukan Mapim Rangers kepada komuniti yang
terpilih di tiga lokasi tersebut.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana dapat melaksanakan amanah ummah ini
dengan jayanya. Setiap sumbangan yang disalurkan adalah hasil keprihatinan
masyarakat.
“Kami hanya berperanan sebagai perantara untuk menyampaikan bantuan kepada mereka
yang benar-benar memerlukan serta meringankan beban mereka menjelang sambutan
Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Hidayat berkata, program bantuan itu merupakan sebahagian daripada
inisiatif berterusan Mapim Malaysia dalam menangani tekanan ekonomi yang dihadapi
oleh golongan rentan, khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan
ini.
Justeru katanya, Mapim Malaysia akan meneruskan siri misi bantuan ke beberapa
lokasi lain dalam masa terdekat bagi memastikan lebih ramai keluarga yang
memerlukan menerima manfaat.
Sementara itu, beberapa penerima melahirkan rasa gembira atas bantuan yang telah
disalurkan kepada mereka.
Bagi seorang suri rumah Fadzilah, 69, dari Kampung Tok Jalai, Jitra berkata,
dia hidup sebatang kara sejak kematian suami 20 tahun lalu serta menetap di rumah
pusaka yang semakin usang.
“Saya tidak ada anak, hanya tinggal seorang diri dan setiap bulan menerima bantuan
RM600 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya memerlukan bantuan untuk rawatan kanser servik untuk menampung kos rawatan
yang memerlukan banyak wang,” ujarnya.
Katanya, selain itu keadaan rumahnya yang semakin usang apabila berlaku kebocoran
atas dan kerosakan struktur rumah akibat anai-anai.
Sementara seorang lagi penerima Naimah, 44, berkata, sejak mengalami strok
melumpuhkan separuh badannya, dia hanya mampu mengesot untuk bergerak.
Ujarnya, hidup terus dihimpit kesusahan apabila suaminya merupakan seorang penagih
dadah pula sering keluar masuk pusat tahanan.
“Paling saya sedih anak perempuan, Farisha berusia sembilan tahun pula tidak
bersekolah dan menyifatkan bantuan yang disalurkan Mapim Malaysia meringankan beban
yang ditanggungnya,” ujarnya. – UTUSAN
CAPTION
MUHAMMAD HIDAYAT Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan Sumbangan Kotak Makanan
Mapim Malaysia kepada seorang penerima