Mach, Pakistan: Tebusan yang dibebaskan daripada kereta api di barat daya Pakistan pada Selasa mendedahkan mereka berjalan selama berjam-jam melalui kawasan pergunungan untuk tiba di kawasan selamat.
Militan yang melancarkan perang untuk menuntut kemerdekaan terhadap Pakistan mencetuskan letupan di landasan kereta api di kawasan terpencil Balochistan.
Ia memaksa kereta api itu berhenti dan kumpulan bersenjata itu menjadikan lebih 450 penumpang sebagai tebusan.
“Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan bagaimana kami berjaya melarikan diri. Ia menakutkan,” kata Muhammad Bilal kepada AFP.
Muhammad sedang dalam perjalanan bersama ibunya menaiki kereta api Jafar Express sebelum terperangkap dalam kejadian berbalas tembakan
Menurut seorang pegawai kereta api, insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut.
Lebih 100 tebusan dibebaskan daripada kereta api, yang masih ditahan oleh pasukan pemberontak.
“Saya mendengar letupan diikuti dengan tembakan ketika pejuang menaiki kereta api,” kata penumpang bernama Allahditta kepada AFP di stesen kereta api di Mach.
Ruang menunggu di stesen itu yang diubah menjadi hospital sementara untuk merawat mangsa cedera.
“Orang ramai mula bersembunyi di bawah tempat duduk dalam keadaan panik. Pejuang memisahkan lelaki dengan wanita.
“Mereka membenarkan saya dan keluarga pergi kerana saya memberitahu mereka saya seorang pesakit jantung,” kata lelaki berusia 49 tahun itu.
“Kami berjalan agak lama melalui pergunungan untuk sampai ke stesen terdekat.
“Saya tidak makan sejak saya mula berpuasa pagi ini tapi masih tidak berselera untuk makan,” tambah Allahditta, merujuk kepada Ramadan.
Seorang penumpang menggambarkan lelaki bersenjata menyusun kad pengenalan (ID) untuk mengesahkan siapa yang berasal dari luar wilayah itu, sama seperti beberapa serangan baru-baru ini yang dilakukan oleh Tentera Pembebasan Baloch (BLA), yang mendakwa bertanggungjawab atas insiden itu.
“Mereka datang dan memeriksa ID dan kad perkhidmatan serta menembak dua askar di hadapan saya dan membawa empat lagi ke mana, saya tidak tahu ke mana,” kata seorang penumpang yang enggan namanya didedahkan, selepas berjalan empat jam ke stesen kereta api terdekat.
“Mereka memeriksa ID dan mereka yang juga warga Punjabi dibawa lari oleh pengganas,” tambahnya.
Lewat Selasa, mangsa yang terselamat berjalan melalui kawasan berceranggah ke stesen kereta api terdekat dan pergi ke Mach, kira-kira 200 kilometer dari sempadan Iran.
Kereta api pertama yang membawa mangsa terselamat tiba lewat petang Selasa, dan disambut pasukan separa tentera dan doktor.
© New Straits Times Press (M) Bhd