mhafis@mediaprima.com.my
Klang: Empat wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia disyaki mangsa eksploitasi buruh paksa diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah di Klang, semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan memaklumkan serbuan dilakukan selepas menerima maklumat berlaku eksploitasi terhadap mereka yang berusia 32 hingga 47 tahun oleh ejen pembantu rumah tidak berlesen.
Katanya, siasatan awal mendapati ejen itu dipercayai dalang aktiviti pemerdagangan manusia yang menjadikan premis terbabit sebagai rumah transit sebelum mangsa dibekalkan kepada majikan.
“Modus operandi ejen adalah dengan membawa masuk warga dari India, Sri Lanka dan Indonesia serta dijanjikan pekerjaan dengan kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh ejen.
“Ia supaya mangsa terikat dan perlu membayar semula kos perbelanjaan serta tambahan bayaran perkhidmatan lain melalui potongan gaji.
“Ketika pemeriksaan, kesemua wanita warga India itu disembunyikan di dalam tandas dan dipercayai tinggal di rumah itu selama hampir tiga minggu sementara menunggu dibekalkan kepada majikan yang baharu,” kata kenyataan itu.
Turut ditemui pasport milik individu lain di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
JIM berkata, hasil temu bual terhadap kesemua mangsa, didapati mereka dijanjikan gaji sebanyak RM1,300 ke RM1,500 sebulan dan gaji itu akan dipotong untuk urusan pas kerja.
“Kebanyakan mereka telah bekerja di Malaysia sejak dua tahun lalu dan masih belum mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah mahupun kontrak kerja seperti dijanjikan.
“Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0,” menurut kenyataan.
Siasatan dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), manakala seorang ahli keluarga kepada ejen haram itu sudah dipanggil untuk membantu siasatan.
Sementara itu, dalang utama iaitu wanita tempatan dikenal pasti berada di luar negara dan akan diberkas sebaik tiba di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd