hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menyeru mangsa yang mendakwa ditipu pempengaruh dan usahawan agensi pelancongan tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
“Jadi, kita minta mana-mana individu untuk membuat laporan polis, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Korea Selatan bagi menyiasat perkara ini.
“Laporan polis perlu dibuat bagi kita membantu mangsa selain memudahkan polis mendapatkan kerjasama sama ada melalui polis antarabangsa (Interpol) atau pihak berkuasa Korea Selatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, hari ini.
Sejak semalam, tular di TikTok luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh dan usahawan agensi pelancongan itu.
Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa dia bersama rombongan tersadai di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan.
Wanita itu mendakwa sudah membuat semakan di kaunter tiket, namun namanya bersama rombongan tiada dalam rekod.
Bagi mendapat kepastian, wanita itu cuba menghubungi pempengaruh terbabit, namun diminta menunggu sebelum diberitahu berlaku masalah teknikal untuk membuat tempahan tiket penerbangan berkenaan.
Di akhir video, wanita itu menuntut pempengaruh terbabit bertanggungjawab kerana terkilan dengan apa yang berlaku selepas sudah membuat pembayaran penuh.
Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi, dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd