Mangsa banjir Johor meningkat

Mangsa banjir Johor meningkat

JOHOR BAHRU – Bilangan penduduk terjejas banjir di negeri ini terus meningkat.

Terkini seramai1,429 mangsa banjir daripada 405 keluarga dipindahkan ke 34 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan lima daerah setakat pukul 6 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata,  peningkatan itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding seramai 503 penduduk daripada 134 keluarga di 10 PPS yang direkodkan pada pukul 1 petang tadi.

Anggota bomba dan penyelamat membantu penduduk terjejas banjir untuk berpindah ke PPS berhampiran.

Beliau berkata, daerah Johor Bahru kembali dilanda banjir apabila sembilan PPS dibuka bagi menempatkan seramai 382 penduduk daripada 104 keluarga.

“Mangsa banjir di Kota Tinggi juga bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat daripada 399 penduduk membabitkan 101 keluarga di 8 PPS kepada 640 penduduk melibatkan 169 keluarga di 16 PPS.

“Manakala di Kluang turut menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda kepada 336 penduduk daripada 116 keluarga berbanding 84 penduduk daripada 28 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi memberitahu, daerah baharu terkesan banjir iaitu Kulai menyaksikan sebuah PPS dibuka bagi menempatkan 51 penduduk daripada 14 keluarga. – MalaysiaGazette