Mangsa banjir enggan balik rumah, gusar bah berulang

Mangsa banjir enggan balik rumah, gusar bah berulang

am@hmetro.com.my

Chukai: Seramai 2,102 penghuni Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak semalam memilih untuk tidak pulang ke rumah walaupun banjir di kawasan berkenaan surut sepenuhnya pagi tadi.

Mereka mengambil keputusan tinggal di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air semula berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Penduduk, Mohd Afikfi Mohd Khalipani, 32, berkata, dia dan isteri, Normawati Abdullah, 29, serta tiga anaknya memilih tinggal di PPS kerana bimbang air akan naik semula.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan sesekali lebat masih lagi berterusan menyebabkan dia memilih jalan selamat untuk tinggal di pusat berkenaan walaupun air di kawasan rumahnya sudah surut sepenuhnya.

“Kami hanya pulang untuk membersihkan rumah dan barangan serta perkakas rumah yang diselaputi lumpur sebelum kembali semula ke pusat pemindahan pada waktu malam.

“Kami keluar rumah pada tengah malam tadi berikutan air naik mendadak sehingga paras paha orang dewasa,” katanya.

Katanya, berikutan air naik secara mendadak, dia hanya sempat mengambil dokumen penting dan beberapa helai pakaian sahaja manakala barangan dan perkakas rumah ditenggelami banjir.

Menurutnya, ada penduduk sudah tidur ketika air naik kerana tidak menyangka banjir berlaku di kawasan berkenaan.

Suri rumah, Tuan Rafidah Tuan Arifin, 40, berkata dia dan suami, Mohd Firdaus Abdullah, 45, serta tiga anak juga memilih untuk bermalam di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air ekoran cuaca yang tidak menentu.

“Selagi keadaan cuaca tidak menentu dan PPS masih dibuka, saya rasa lebih selamat kalau kami anak beranak bermalam di pusat pemindahan dan pulang apabila banjir pulih sepenuhnya,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah malam semalam, seramai 2,561 penduduk di tiga kawasan dalam daerah Kemaman iaitu Cukai, Kijal dan Kemasik masih berada di lima PPS iaitu Dewan Abdul Rahman Limbong, Telok Kalong (2,102), SK Kemasik (400), Balairaya Padang Kemunting (29),Balairaya Beris Nenas (19) dan Balairaya Meraga Beris seramai 11 mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top