Kuantan: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang terus meningkat kepada 236 orang daripada 74 keluarga setakat 1 tengah hari, hari ini, berbanding 209 orang malam tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Temerloh sejak Khamis.
Pengarah Pertahanan Awam Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman ketika dihubungi berkata, banjir di Kampung Batu Kapor berpunca daripada limpahan air Sungai Semantan sehingga mengakibatkan 73 rumah ditenggelami air.
“Keadaan cuaca hari ini bertambah baik manakala paras bacaan Sungai Semantan kembali normal. Sekiranya keadaan ini berterusan, ada kemungkinan mangsa boleh dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd