Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat, manakala pusat pemindahan sementara (PPS) di Negeri Sembilan ditutup sepenuhnya setakat malam ini.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 209 orang daripada 68 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 49 mangsa daripada 12 keluarga pada pagi tadi yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Temerloh.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan Lanchang dalam daerah yang sama yang menempatkan 49 mangsa sejak semalam telah ditutup pada 2.30 petang tadi.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, PPS Dewan D’Sury Jelebu yang menempatkan mangsa banjir telah ditutup sepenuhnya pada 10 pagi tadi dan kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas kediaman mereka disahkan selamat untuk didiami.
“Cuaca semasa baik dan tiada hujan. Bagaimanapun, kita tetap memantau keadaan paras air sungai semasa sebagai langkah keselamatan dan pencegahan awal,” menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim.
PPS Dewan D’Sury Jelebu dibuka pada Rabu lepas kira-kira 1 pagi selepas paras air sungai naik sebelum melimpah sehingga menyebabkan kejadian banjir di dua kawasan di Jelebu.
© New Straits Times Press (M) Bhd