Mangsa banjir di Kedah terus meningkat 3,845 orang

Mangsa banjir di Kedah terus meningkat 3,845 orang

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah meningkat sehingga mencecah 3,845 mangsa daripada 1,147 keluarga di tujuh daerah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 2.50 petang hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 3,441 mangsa daripada 978 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan lama Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, mangsa di daerah Kota Setar yang mencatatkan penurunan jumlah seramai 1,162 mangsa daripada 364 keluarga berbanding 1,205 mangsa daripada 342 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Selain itu, daerah Kubang Pasu mencatatkan seramai 1,034 mangsa dari 312 keluarga di tujuh PPS berbanding 704 mangsa daripada 214 keluarga pagi tadi.

Dalam pada itu, daerah Bandar Baharu yang baharu dibuka semalam pula berkurangan apabila 107 mangsa daripada 24 keluarga di sebuah PPS berbanding 113 mangsa daripada 25 keluarga sebelum ini.

Selain itu, mangsa banjir di daerah Pendang pula menempatkan seramai 495 mangsa daripada 135 keluarga meningkat daripada 429 mangsa daripada 108 keluarga di tiga PPS pagi tadi.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di empat PPS Pokok Sena adalah seramai 811 mangsa daripada 223 keluarga berbanding sebelum ini 773 mangsa daripada 213 keluarga.

Selain itu, daerah Kuala Muda masih kekal seramai 131 mangsa daripada 50 keluarga ditempatkan di tiga PPS dan daerah Kulim pula menempatkan seramai 86 mangsa daripada 26 keluarga.

Dalam pada itu, sembilan sungai di negeri ini melepasi tahap bahaya yang mana tujuh daripadanya menunjukkan trend menaik manakala dua sungai lagi masing-masing menurun serta tiada perubahan.

Tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir masih melepasi tahap bahaya ketika ini.

Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar juga turut melepasi tahap bahaya.

Selain itu, Sungai Perik di Kampung Perik di daerah Padang Terap juga menunjukkan bacaan melebihi tahap bahaya.

Manakala tiga sungai lagi iaitu Sungai Sedim di daerah Baling, Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar dan Sungai Gurun di Kampung Perupok di Yan sudah melepasi tahap amaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top