Mangsa banjir di Kedah meningkat 8,514 mangsa di 44 PPS

Mangsa banjir di Kedah meningkat 8,514 mangsa di 44 PPS

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 8,514 mangsa daripada 2,728 keluarga yang ditempatkan di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 11 malam ini.

Jumlah itu berubah berbanding 8,111 mangsa daripada 2,595 keluarga yang ditempatkan di 40 PPS di negeri ini pada jam 5 petang hari ini.

Setakat ini, jumlah PPS yang masih aktif di lima daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang Bandar Baharu dan Pokok Sena.

Melalui laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, Daerah Kota Setar terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 4,717 mangsa daripada 1,554 keluarga berbanding 4,170 mangsa daripada 1,385 keluarga setakat jam 5 petang hari ini.

Kesemua mereka ditempatkan di 18 PPS yang mana tiga PPS baru dibuka hari ini berbanding 15 PPS di daerah ini setakat jam 5 petang tadi.

Daerah Pendang mencatatkan jumlah mangsa yang ramai iaitu 1,485 mangsa daripada 450 keluarga berbanding 1,483 mangsa daripada 448 keluarga di 10 PPS setakat ini.

Selain itu, daerah Kubang Pasu mencatatkan pengurangan kepada 1,381 mangsa daripada 444 keluarga berbanding 1,483 mangsa daripada 450 keluarga.

Mangsa banjir di Pokok Sena pulak menunjukkan penurunan seramaj 783 mangsa daripada 246 keluarga berbanding 828 mangsa daripada 256 keluarga petang tadi.

Selain itu, daerah Bandar Baharu pula masih kekal 147 mangsa daripada 34 keluarga di sebuah PPS yang masih dibuka setakat ini.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, tiga sungai di negeri ini masih kekal melepasi paras bahaya dengan trend menaik.

Tiga sungai terbabit ialah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR Dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar manakala Sungai Bata di daerah Kubang Pasu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top