Mangsa banjir di Johor cecah lebih 10,000

Mangsa banjir di Johor cecah lebih 10,000

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat melebihi 10,000 orang setakat 8 pagi tadi, berbanding 3,964 orang membabitkan 917 keluarga, pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, pagi ini, mangsa banjir di lima daerah terjejas mencecah 10,763 orang terdiri daripada 3,018 keluarga yang kini ditempatkan di 98 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Johor Bahru terus menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 4,291 orang daripada 1,138 keluarga berbanding 1,288 orang daripada 207 keluarga.

“PPS di Johor Bahru juga kini bertambah sehingga 27 berbanding 19, malam tadi.

“Kluang pula kedua terjejas yang mana kini merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 2,163 orang membabitkan 635 keluarga berbanding 479 mangsa daripada 147 keluarga, malam tadi. Mereka kini ditempatkan di 27 PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi berkata, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai juga terus mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat yang mana Kota Tinggi kini dengan 1,761 mangsa (504 keluarga) di 17 PPS, berbanding 733 mangsa (212 keluarga) di 15 PPS, malam tadi.

Katanya, Pontian pula meningkat kepada 1,395 mangsa (387 keluarga) berbanding 688 mangsa (192 keluarga), masih di 19 PPS, manakala jumlah mangsa banjir di Kulai pula kini mencecah 1,152 orang (354 keluarga) berbanding malam tadi, 506 orang (159 keluarga) dengan penambahan satu lagi PPS menjadi lapan PPS.

Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat berterusan membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi dijangka berlaku sehingga hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top