Manfaat kemahiran untuk amal

Manfaat kemahiran untuk amal

lizamridzuan@hmetro.com.my

Aktiviti sukarelawan adalah satu platform yang menggalakkan individu untuk menyumbangkan masa, tenaga dan kepakaran demi manfaat masyarakat.

Melalui penyertaan dalam program sukarelawan, kita dapat memupuk nilai keprihatinan, semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab sosial.

Tidak terkecuali buat Aleeza Zainudin, 32, yang menyumbang tenaganya melakukan perkara yang berkaitan dekorasi acara secara sukarela dan ia bukan sahaja menjadi perhatian malah satu kepuasan untuk dirinya.

“Semuanya berlaku secara kebetulan ketika majlis hari jadi anak, saya menghias dan melakukan dekorasi sendiri dan memuat naiknya di laman sosial yang kemudiannya ramai kawan-kawan berminat untuk mendapatkan khidmat yang sebegitu,” katanya.

Bermula hanya dengan suka-suka, untuk keperluan sendiri dan kerja amal, Aleeza akhirnya memulakan perniagaan dekorasi untuk majlis hari jadi serta korporat sebagai sumber pendapatan.

Meskipun sibuk dengan tempahan, dia mampu membahagikan masa menjalankan kerja amal untuk dekorasi acara di sekolah anaknya menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor.

Menerusi pelbagai acara berkaitan di sekolah yang memerlukan dekorasi dan hiasan, Aleeza memanfaatkan kemahiran serta pengalamannya melakukan tugasan itu dengan baik.

“Pada asalnya acara di sekolah hanya dekorasi biasa dan saya serta beberapa rakan lain menambah baik supaya kelihatan lebih meriah dan tampil ceria,”

“Semuanya dilakukan secara sukarela malah tiada bayaran yang dikenakan dan ia dilakukan untuk memberi kepuasan kepada diri selain seronok melihat anak-anak serta ibu bapa lain gembira,” katanya.

Selain dekorasi, Aleeza masih meneruskan perniagaan pakaian. Pada masa sama, dia dan rakan-rakan peniaga baju yang lain memulakan satu kempen sumbangan pakaian kepada yang memerlukan.

“Setiap hujung tahun, kami akan mengumpulkan baju-baju wanita yang tidak terjual untuk disumbangkan kepada pihak memerlukan dan ia adalah baju baharu yang masih dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, baju bersesuaian dipilih mengikut lokasi atau tempat yang akan disumbangkan supaya ia dapat dipakai penerima.

Mengambil contoh sumbangan di sekolah tahfiz perempuan maka baju-baju yang dipilih akan dipastikan sesuai mengikut etika pakaian di sana.

“Hujung tahun lalu, kami menyumbangkan baju-baju di Pasar Seksyen 6 Shah Alam sebagai salah satu lokasi serahan dan pekerja di sekitar kawasan itu sudah menanti kehadiran kami dan mereka rasa gembira,” katanya.

Aleeza mengakui dia yang berkelulusan ijazah dalam bidang pengurusan acara dan perhubungan awam itu tidak pernah bekerja dalam bidang ini selepas tamat pengajian dan memilih untuk melakukan perniagaan baju dalam talian sebagai kerjaya.

Dia ingin melakukan perkara yang memberikan kepuasan tersendiri dan pada masa sama mempunyai masa yang fleksibel untuk menguruskan keluarga serta anak-anak.

Berkongsi perancangan masa hadapan, selain meluaskan perniagaan dia mahu menggesa lebih ramai peniaga baju turut menyumbang bagi tujuan kebajikan seperti apa yang dilakukan kini.

“Sudah pasti saya mahu meluaskan lagi sumbangan ke negeri-negeri lain selepas ini dan ia perlu perancangan lebih terperinci untuk menguruskan logistik serta keperluan lain,” katanya.

Aleeza juga berharap lebih ramai dapat menawarkan pelbagai bentuk sumbangan sama ada wang ringgit dan tenaga kepada mana-mana badan yang memerlukan.

“Pembabitan aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan masa.

“Menerusi aktiviti sebegini, kita mampu membawa perubahan positif dan mencorakkan masa depan yang lebih baik buat generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top