Manchester United kembali di landasan kemenangan

Manchester United kembali di landasan kemenangan

PETALING JAYA: Manchester United kembali menemukan rentak kemenangan selepas menumpaskan Southampton 3-0 di Stadium St. Mary, sebentar tadi.

Dalam aksi keempat Liga Perdana Inggeris itu, skuad bimbingan Erik Ten Hag meledak dua jaringan pada separuh masa pertama masing-masing menerusi Matthijs de Ligt minit ke-35 dan Marcus Rashford minit ke-41.

Alejandro Garnacho menambah satu lagi jaringan buat pasukan pelawat pada penghujung babak kedua perlawanan.

Kemenangan kedua dalam empat perlawanan itu meredakan tekanan yang dihadapi Ten Hag selepas berdepan dua kekalahan termasuk 0-3 ke atas seteru Liverpool awal bulan ni.

Keputusan itu juga menyaksikan Rashford yang berdepan masalah prestasi menamatkan kemarau jaringan.

Pemain tengah baharu Manchester United, Manuel Ugarte turut membuat penampilan pertama dengan pasukan itu dalam perlawanan ini. – UTUSAN