PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui The Citizens perlu berwaspada apabila berdepan Real Madrid yang mampu mempamerkan aksi terbaik biarpun dihimpit kecederaan beberapa tonggak menjelang playoff Liga Juara-Juara di Stadium Etihad pada Rabu.
“Saya rasa kedua-dua pasukan mempunyai masalah kecederaan musim ini. Madrid mengendalikannya jauh lebih baik daripada kami kerana mereka masih berada di tangga teratas liga dan menentang Atletico Madrid.
“Itu menunjukkan sekali lagi konsistensi yang mereka ada. Pada akhirnya mereka adalah pesaing yang besar. Kami tahu itu.
“Kami telah menghadapinya berkali-kali dengan mereka dan bagaimana dalam saat-saat sukar mereka membawa yang terbaik daripada mereka – kami tahu itu. Sudah tentu kami perlu membuat dua perlawanan yang bagus untuk di harungi,” kata Guardiola.
Real dan City sebelum ini gagal mara secara automatik ke pusingan 16 terakhir sebagai salah satu daripada lapan pasukan teratas dalam Liga Juara-Juara selepas masing-masing menduduki tempat ke-11 dan ke-22, dalam format fasa liga baharu dan perlu bermain playoff timbal balik.
Sebagai rekod, kedua-dua kelab itu akan bertembung untuk tahun keempat berturut-turut, setelah bertemu dalam empat perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara sejak 2020.
Pada perlawanan pertama perlawanan playoff, pendahulu LaLiga, Real akan beraksi tanpa pemain pertahanan Dani Carvajal, Antonio Rudiger, Eder Militao dan David Alaba.
Sejak kedua-dua pasukan bertemu tahun lalu, Real mengukuhkan serangan menggerunkan dengan khidmat Kylian Mbappe, yang disokong Rodrygo, Jude Bellingham dan Vinicius Jr.
Mengulas lanjut Guardiola mengakui mustahil untuk mengekang rangkaian penyerang Real, sambil berkata: “Mereka amat luar biasa.
“Bagaimana mereka bergabung, berlari, keupayaan bersaing satu lawan satu, bagaimana mereka mengekalkan bola, keempat-empatnya adalah luar biasa. Semua orang tahu, jadi anda perlu mengurangkan penglibatan itu sebanyak mungkin, mengetahui bahawa ia akan berlaku, maka terimalah.”