KUALA LUMPUR: Politik dan agama tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan umat Islam kerana Islam sendiri menggariskan prinsip pemerintahan yang baik untuk kesejahteraan masyarakat, kata pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff.
Beliau berkata, konsep ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’ jelas membuktikan bahawa Islam tidak menolak pemerintahan, malah banyak kisah dalam al-Quran menunjukkan peranan siyasah dalam kehidupan para Nabi.
“Bahkan banyak sekali cerita mengenai siyasah dalam al-Quran – bagaimana Nabi Allah Yusuf AS menjadi pemerintah setelah melalui liku-liku mencabar, bagaimana perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam menegakkan negara Islam Madinah dan khilafah, dan sebagainya,” kata beliau dalam media sosial miliknya.
Menurut Yusfarizal, pemisahan agama dan politik merupakan konsep sekularisme yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Politik Islam harus berlandaskan akhlak
Yusfarizal turut menegaskan bahawa kerana Islam tidak dipisahkan daripada politik, maka cara berpolitik umat Islam harus selari dengan lunas-lunas Islam dan mencerminkan akhlak yang baik.
“Akhlak Islam mesti terpancar indah daripada kita. Politik kita bukan sahaja harus berjaya mendapat kuasa pemerintahan, bahkan meneruskan dakwah yang memberi kesan. Barulah kita berjaya memaknakan politik Islam itu dengan sebenar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tindakan menuduh ahli parti politik lain sebagai murtad adalah sesuatu yang tidak selari dengan politik Islam.
“Betapa benci pun kita dengan DAP, saya tidak bersetuju sama sekali dengan kalam ini. Pertama kerana kita tidak boleh menghukum sesiapa murtad tanpa proses sepatutnya.
“Dan kedua kalau hanya kerana mereka menjadi ahli dan pemimpin DAP, saya kira tidak ada sesuatu yang sampai memurtadkan akidah mereka,” katanya.
Hormati sesama umat Islam
Dalam pada itu, Yusfarizal berkata tuduhan-tuduhan seperti itu mungkin datang daripada pihak ketiga atau akaun palsu yang mahu mengambil kesempatan dalam suasana politik semasa.
Namun katanya, pengajaran tetap perlu diambil agar sesama umat Islam tetap menjaga hubungan sebagai saudara seagama.
“Berbahaslah, dan bergaduhlah atas isu politik, namun jangan diputuskan talian Islam itu.
“Mana tahu, dengan izin Allah, Saudara Shahrezan dan Saudari Syefura masuk PAS nanti. Ketua Muslimat pula barangkali. Kerana dalam politik, tiada apa yang mustahil,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dituduh murtad selepas terpilih sebagai anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Syahredzan menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau dan mendakwa ia datang daripada akaun tanpa identiti sebenar, manakala Young Syefura mengingatkan agar tidak membuat fitnah terutama di bulan Ramadan.
Kedua-dua mereka antara pemimpin Melayu yang berjaya dalam pemilihan CEC DAP bagi penggal 2025-2028. – HARAKAHDAILY 18/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!