am@hmetro.com.my
Seremban: Bukan sahaja mencacatkan pemandangan, pengibaran bendera Malaysia dan Negeri Sembilan yang lusuh dan rosak memberi imej negatif kepada orang luar.
Justeru, atas kesedaran itu, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kini sedang giat menjalankan pemeriksaan ke premis perniagaan dan kediaman di daerah ini yang masih tidak menurunkan bendera yang rosak.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, Jabatan Perdana Menteri menetapkan beberapa garis panduan supaya penggunaan Jalur Gemilang sentiasa dihormati rakyat Malaysia.
“Antaranya mengibarkan bendera yang sudah uzur seperti pudar warna dan koyak adalah satu kesalahan dan ketidakwajaran.
“MBS mengingatkan warga bandar raya Seremban terutamanya pemilik premis dalam kawasan pentadbiran MBS supaya menurunkan bendera Malaysia dan bendera Negeri Sembilan yang rosak atau lusuh,” katanya tadi.
Masri berkata, buat masa ini pihaknya hanya mengeluarkan notis arahan secara umum kepada semua pemilik premis dan perkara itu tiada had tempoh masa.
“Notis ini akan dilaksanakan sepanjang masa, tiada tempoh masa. Pegawai dan anggota kami akan melakukan pemeriksaan dan jika terdapat juga bendera rosak masih dikibarkan, kami minta turunkan.
“Ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan di daerah ini, malah memberikan gambaran tidak baik kepada masyarakat luar terhadap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi tidak lama lagi satu persidangan antarabangsa akan diadakan di negara ini,” katanya.
Jelas Masri, pengibaran bendera yang pudar dan rosak seolah menggambarkan pudarnya semangat patriotik dalam kalangan generasi masa kini.
“Bendera ini adalah maruah dan kedaulatan kita. Pejuang dahulu dan orang-orang ‘lama’ sangat hormatkan bendera, dijaga dengan rapi dan dipertahankan,” katanya.
End
CAPTION: SEREMBAN APRIL 2025. BENDERA Malaysia yang sudah usang masih dikibarkan di premis di daerah ini. FOTO AHMAD HASBI.
From: Hasbi
© New Straits Times Press (M) Bhd