Man United mahu pecat 200 lagi pekerja

Man United mahu pecat 200 lagi pekerja

London: Manchester United dijangka memecat sehingga 200 lagi kakitangan susulan langkah penjimatan kos terbaru oleh Sir Jim Ratcliffe.

Bilionair British itu membayar £1 bilion (RM5.56 bilion) untuk memiliki 27.7 peratus daripada kelab terbabit tahun lalu dan sejak itu mengambil langkah drastik untuk memperbaiki kewangan di Old Trafford.

Media difahamkan antara 100 hingga 200 pekerja akan diberhentikan dalam usaha terbarunya untuk mengurangkan kos dengan semua jabatan berisiko berdepan pengurangan jumlah kakitangan mereka.

Menurut sumber: “Akhirnya, bola sepak adalah perniagaan tetapi terdapat ratusan orang bekerja tanpa mengenal penat lelah di belakang tabir yang menyumbang kepada kejayaan mana-mana kelab.”

“Moral berada di paras paling rendah selepas pemecatan pekerja tahun lalu dan ini akan menjadi tamparan besar lagi.”

Ini berlaku selepas Ratcliffe memecat 250 daripada 1,150 tenaga kerja pada Julai.

Man Utd kerugian £300 juta dalam tiga tahun terakhir dan walaupun wang disuntik oleh rejim Ineos, gambaran jangka panjang masih ‘mencabar’

Ratcliffe bertekad mengembalikan zaman kegemilangan kelab itu dan bersedia melakukan transformasi dalam dan luar padang untuk mencapainya.

Man Utd difahamkan sedang meneroka semua pilihan untuk menjimatkan wang dan meningkatkan pendapatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top