Kuala Lumpur: Pelawak, Mohd Noor Murad atau Mamat Sepah bersyukur apabila diberi peluang mengerjakan umrah buat kali kedua ditemani isteri tercinta, Nordiana Ibrahim.
Kali terakhir Mamat menunaikan umrah adalah pada 10 tahun lalu. Mamat berkata rezeki dapat menunaikan umrah kali ini adalah hadiah istimewa daripada Allah selepas sekian lama menanti.
“Dulu saya pergi 10 tahun lalu pada tahun 2015. Alhamdulillah saya bersyukur kali ini Allah panjangkan umur dan murahkan rezeki akhirnya dapat pergi bersama isteri tercinta pada tahun ini.
“Lebih istimewa pada umrah kali ini, dan sama macam pasangan suami isteri lain saya dan isteri insya Allah akan banyak doakan agar hidup kami diberkati, kekal bahagia hingga syurga dan dikurniakan zuriat yang soleh solehah,” katanya.
Mamat juga memaklumkan pernah menyimpan hasrat untuk bernikah di Makkah bagaimanapun ia terpaksa dilupakan kerana kekangan undang-undang pada masa itu.
“Dulu saya pernah ada niat nak nikah di Makkah tetapi kerajaan tidak benarkan waktu itu jadi tidak dapat nikah di sana, jadi dapat bulan madu pun dah cukup,” katanya yang menunaikan umrah berkenaan bersama sahabatnya Shahmira Muhammad atau Shuib dan keluarga.
Mereka bertolak pada Khamis lalu dan ditaja sepenuhnya oleh Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.
Sementara itu, Shuib, yang sebelum ini pernah ditipu oleh agensi umrah, bersyukur kerana dapat membawa isterinya Watie Hanifiah dan anak-anaknya merasai pengalaman berharga di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, kali ini saya dan anak-anak dapat menunaikan umrah bersama. Saya juga bersyukur kerana anak bongsu saya Ayash Affan, yang berusia tiga tahun dapat menunaikan umrah buat kali pertama.
“Saya dan isteri memang ada perancangan menambah cahaya mata kerana abang dan kakaknya sudah meminta adik. Mana tahu, ada rezeki ‘baby Tanah Haram’,” katanya.
Tambah Shuib, perjalanan umrah berkenaan menjadi pengalaman berharga buat mereka selain dapat mengeratkan lagi persahabatan dengan Mamat.
Mereka turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati memilih agensi umrah supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd