Pelakon Abby Abadi kecewa dituduh anak sendiri, Marissa Dania Hakim mereka-reka cerita mengenai konflik rumah tangga dan kontroversi yang melibatkan suami Marissa, Ahmad Aslam.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Abby menafikan dakwaan itu dan mendedahkan bahawa insiden melibatkan Marissa dan Aslam bukan rekaan.
Tambah Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, apa yang berlaku adalah fakta dan suaminya yang juga bapa tiri Marissa iaitu Muhammad Faizal Zakaria merupakan individu yang ‘lempang’ Aslam pada ketika itu.
“Mama buat cerita?? Oh tidak, sedapnya menulis panjang berjela. Yang melempang tu abahnya. Maknya juga yang disebut.
“Tuduh pula kata buat cerita, ya? Nasib tak ada video atau gambar waktu kejadian. Kalau ada, memang jadi kurang sabar untuk sebarkan,”luahnya.
Abby Abadi kecewa dituduh anak sendiri
Ujarnya, dia sudah lama memendam perasaan dan memberi peluang, namun kecewa apabila dirinya terus dituduh.
“Minta maaf. Dah lama sangat simpan. Banyak sangat hal, tak terpendam dah. Banyak kali bagi muka. Kali ini tak kasi ruang dah… Cukuplah.
“Jagalah Aslam tu baik-baik, ya Marissa. Semoga bahagia hingga ke Syurga Firdausi.”luahnya lagi.
Artikel lain: “Minta maaf kat Threads buat apa?”- Abby Abadi kecewa, ajak Aslam datang rumah selesaikan kemelut
Marissa pertahankan suami, tegaskan Aslam bukan pedofilia’!
Marissa kemudian tampil memberikan kenyataan balas yang turut dimuat naik di Instagram miliknya. Menurut Marissa, dia tidak pernah berniat menentang ibunya, namun terpaksa bersuara apabila suaminya dituduh dengan gelaran yang dianggap sangat melampau.
“Saya menulis ini dengan hati yang sangat berat. Sebagai seorang anak, saya tidak pernah berhenti menyayangi dan menghormati ibu saya. Tetapi saya perlu hentikan semua ruang kepada fitnah.”
“Satu tuduhan yang sangat serius telah dilemparkan terhadap saya dan suami, hingga dia digelar dengan gelaran yang sangat menjijikkan dan tidak berasas seperti ‘pedofilia’,”kata Marissa yang juga anak kandung kepada aktor, Norman Hakim.
Marissa menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar dan menjelaskan bahawa dia berkahwin dengan Aslam atas persetujuan bersama.
“Di sini saya ingin jelaskan, sebagai manusia dan sebagai seorang isteri yang tahu keseluruhan kebenaran di sebalik cerita ini, saya ingin tegaskan bahawa tuduhan itu tidak benar sama sekali.”
“Ya, kami pernah berkawan, tetapi kami tidak menjalinkan hubungan cinta beberapa tahun lalu. Dia bukan lelaki yang sempurna, tetapi dia bukan penjenayah. Kami berkahwin atas persetujuan dan kerelaan bersama. Saya bukan mangsa, walaupun ramai yang berkata sebaliknya,”ujarnya.
Beliau turut menyatakan kekesalan apabila cubaan untuk menyelesaikan isu ini secara baik ditolak oleh ibunya.
“Saya menghormati ibu saya, tetapi saya mohon agar penyebaran cerita tidak benar di media sosial dihentikan. Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya dibincangkan secara tertutup, bukan diumumkan kepada umum sehingga nama dan maruah orang lain terjejas.”
“Apa yang lebih menyedihkan, apabila saya cuba menghubungi ibu saya secara baik melalui WhatsApp, semuanya tidak diendahkan. Tiada ruang langsung untuk berbincang. Tak mahu berjumpa. Tapi pada masa yang sama, cerita terus tersebar secara terbuka di media sosial,”jelasnya di bebenang platform Threads, hari ini.
Marissa menegaskan kenyataannya bukan bertujuan membalas dendam, sebaliknya untuk menjernihkan keadaan.
“Saya menulis ini bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk menjernihkan keadaan. Bila maruah dan harga diri terus diperlekehkan, kami berhak untuk membela diri.”
“Saya mohon agar segala rasa kurang senang dapat disuarakan secara peribadi dan tertutup. Kami hanyalah manusia biasa yang sedang cuba memperbaiki hidup. Semoga Allah memberi keampunan dan melembutkan hati kita semua. Dan semoga kebenaran akhirnya menutup segala keburukan yang sedang digembar-gemburkan.”akhirinya.
Sumber: Threads marissadania_, abbyabadi_112