SEREMBAN: Kerajaan Malaysia bersedia menerima 15 tahanan Palestin yang dibebaskan Israel sebagai usaha pendamaian di bawah Perjanjian Gencatan Senjata Gaza ke negara ini dalam masa terdekat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan itu sebagai tanda sokongan negara bagi menjayakan salah satu syarat perjanjian gencatan senjata yang mana pejuang palestin yang dibebaskan tersebut tidak boleh pulang ke Gaza.
“Kita sedang menghantar pasukan untuk melihat siapa (tahanan) yang dipilih untuk datang ke sini, bukan sahaja Malaysia tetapi Turki mengambil ratusan orang, begitu juga Pakistan dan Indonesia mengambil sebahagiannya yang merupakan negara-negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Segala dokumentasi akan diselesaikan dan kita akan bawa mereka ke Malaysia, namun di mana mereka akan ditempatkan akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Khatam Al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) di sini hari ini.
Jelas Mohamad, kemasukan tawanan Palestin itu akan mengguna pakai konsep kemasukan pelarian Syria ke negara ini yang telah diaplikasikan sebelum ini.
Katanya, walau apa pun tuduhan terhadap tahanan perang Israel itu, kita melihat mereka sebagai pejuang kebebasan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara Palestin yang dijajah.
“Syarat-syarat gencatan senjata sementara tempoh hari yang dibuat atas inisiatif kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat iaitu mengatakan jika tahanan ini dibebaskan, mereka tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman.
“Jadi kita setuju dengan cadangan itu, asalkan kita nak satu gencatan senjata (diteruskan). Hamas membebaskan tahanan perang dia (rakyat Israel) dan Israel membebaskan orang-orang Palestin yang ada ditahan tanpa bicara sampai 20 tahun, ada sampai 70 tahun, sejak umur 20 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berharap rakyat Malaysia menerima baik usaha tersebut sebagai salah satu tanggungjawab antarabangsa negara.
“Saya harap rakyat Malaysia yang berjiwa besar ini jangan salah anggap. Jangan kata ‘Kera di hutan disusukan dan rakyat tempatan kelaparan’, ia tidak begitu.
“Kita bukan nak susukan kera dihutan, kita menjalankan tanggungjawab antarabangsa dan sebagai negara yang kuat melaungkan sokongan terhadap perjuangan Palestin,” katanya.
Kata beliau, kesediaan Malaysia menerima 15 tawanan Palestin itu memadai dan tidak membebankan negara. – UTUSAN