kamarulzaidi@nstp.com.my
Lima, Peru: Malaysia menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Peru, termasuk usaha membangunkan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk produk halal Malaysia menembusi pasaran Amerika Latin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang dalam lawatan rasmi ke Lima sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-31 di sini, menjelaskan bahawa Malaysia melihat potensi besar dalam membangunkan ekosistem halal di Peru.
Ini bukan sahaja sebagai strategi perdagangan, tetapi juga peluang untuk memperluas kerjasama di rantau yang semakin menerima produk berasaskan halal.
“Peru memiliki kedudukan geografi yang strategik sebagai pintu masuk utama ke Amerika Latin. Dengan pembangunan infrastruktur Pelabuhan Chancay, Malaysia berharap dapat menyumbang kepada projek ini dan pada masa yang sama memperkukuhkan kehadiran produk halal Malaysia di rantau ini,” kata Anwar selepas pertemuan bersama Presiden Peru, Dina Boluarte di Istana Kerajaan Peru, hari ini.
Anwar sebelum itu diberi sambutan negara di pekarangan Istana Kerajaan Peru.
Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan mesyuarat tertutup sebelum disusuli dengan mesyuarat bilateral.
Turut sama adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si.
Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) iaitu membabitkan kerjasama dalam industri halal antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC) dengan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (Promperu), kerjasama dalam bidang pertanian antara Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan Institut Inovasi Pertanian Kebangsaan (INIA) dan kerjasama dalam bidang gastronomi antara Taylor’s University dengan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR).
Menurut Anwar, Malaysia dan Peru juga mengakui kepentingan pertumbuhan perdagangan dua hala melalui Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) yang menjadi asas kepada perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara.
Di bawah pelan pembangunan itu, Malaysia akan memberi fokus kepada memperluaskan rangkaian halal yang bukan sahaja tertumpu kepada makanan, tetapi juga merangkumi produk kosmetik, farmaseutikal, dan perkhidmatan hospitaliti.
Dengan inisiatif itu, Malaysia berharap dapat membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna Muslim di rantau Amerika Latin, yang semakin peka terhadap produk halal.
Pelabuhan Chancay yang terletak berhampiran ibu kota Peru, Lima, kini sedang dibangunkan sebagai salah satu pelabuhan utama yang menghubungkan perdagangan global ke Amerika Latin.
© New Straits Times Press (M) Bhd