Malaysia rakan strategik utama dalam usaha Turkiye perkukuh hubungan Asia

Malaysia rakan strategik utama dalam usaha Turkiye perkukuh hubungan Asia

Kuala Lumpur: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menekankan peranan Malaysia sebagai rakan strategik utama menjelang lawatan rasminya, sekali gus menegaskan komitmen Turkiye dalam mempererat hubungan dua hala dan kerjasama dalam isu global, khususnya perjuangan Palestin.

“Kami memulakan lawatan empat hari ini bagi memenuhi jemputan Malaysia, Indonesia dan Pakistan,” kata Erdogan dalam satu hantaran di akaun rasmi X sebelum berlepas.

Hantaran itu, yang asalnya dalam bahasa Turki, menggariskan harapan beliau terhadap lawatan berkenaan serta kepentingan jelajah ke tiga negara itu.

Malaysia menjadi persinggahan pertama dalam lawatannya, dengan Erdogan menyifatkan negara itu sebagai “rakan kongsi strategik komprehensif sejak 2022” dan selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025.

“Sepanjang lawatan ke ketiga-tiga negara mesra dan bersaudara ini, kami akan menandatangani pelbagai perjanjian yang bertujuan memperkukuh lagi hubungan dua hala,” katanya.

Selain kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, Erdogan turut menekankan komitmen bersama antara Malaysia dan Turkiye dalam isu antarabangsa.

“Kami juga bekerjasama rapat di peringkat antarabangsa, terutama dalam isu Palestin. Insya-Allah, kita akan memperhebatkan usaha ini pada masa akan datang,” kata pemimpin itu.

Dalam rangka lawatannya ke Kuala Lumpur, beliau dijadual menerima Ijazah Kehormat dari Universiti Malaya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam diplomasi global.

Erdogan juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), serta menghadiri forum perniagaan Malaysia-Turkiye.

Selepas Malaysia, beliau akan berkunjung ke Indonesia sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan mengukuhkan hubungan dengan ASEAN.

Pakistan pula menjadi destinasi terakhir dalam lawatan itu, yang disifatkan oleh Erdogan “mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Turkiye dan bangsa Turki.”

“Pada 2019, kami melancarkan ‘Asia Anew Initiative’ sebagai langkah untuk memperkukuh kerjasama dengan Asia.

“Saya berharap lawatan ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha itu, akan mempercepatkan lagi hubungan yang dibina atas dasar persaudaraan dengan Malaysia, Indonesia dan Pakistan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top