Malaysia pantau risiko

Malaysia pantau risiko

Kuala Lumpur: Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 walaupun berdepan risiko daripada perang tarif, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya sepanjang bulan lepas, keyakinan terhadap prospek pertumbuhan jangka sederhana dan jangka panjang Malaysia kekal tidak berubah.

Selain itu, ringgit mengukuh pada minggu lepas.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memantau risiko tersebut dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) bertanggungjawab untuk mengumpul input daripada semua kementerian.

Kementerian Kewangan mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025.

Rafizi berkata, perang perdagangan dijangka terus menjadi ciri kekal dalam ekonomi global dan Malaysia perlu mengharungi perubahan tersebut dan ketidaktentuan daripadanya.

“Saya rasa pasaran akan mencari cara untuk mengambil kira semua faktor dalam tempoh yang sewajarnya. Akhirnya, ia akan kembali kepada nilai tawaran yang boleh diberikan oleh ekonomi Malaysia kepada dunia.

“Sehubungan itu, saya rasa beberapa perkara yang menarik banyak minat terhadap ekonomi Malaysia sejak setahun lepas atau lebih masih tidak berubah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan Bank Dunia bertajuk A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia, semalam.

Beliau berkata, unjuran dunia akan menjadi lebih digital dan dipacu kecerdasan buatan (AI) juga tidak berubah, yang akan memberi manfaat kepada Malaysia sebagai hab semikonduktor utama.

“Ini bermakna permintaan terhadap cip akan meningkat dan akan mengukuhkan perdagangan Malaysia. Pelan jangka panjang kami memastikan Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan itu juga tidak berubah.

“Oleh itu, banyak pelan ekonomi kita dibina berdasarkan trend mega jangka panjang,” katanya.

Mengenai rang undang-undang untuk memantau industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia, beliau berkata, ia akan dibentang pada sesi Parlimen yang sedang bersidang.

“Kami sedang teliti draf akhir. Draf pertama h dibawa untuk perbincangan. Kami buat beberapa penambahbaikan berdasarkan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

“Oleh itu, sasaran ialah memuktamadkan dan membentangkan rang undang-undang pada minggu pertama Mac,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top