Malaysia mampu jadi destinasi bernilai tinggi

Malaysia mampu jadi destinasi bernilai tinggi

Anjakan kepada amalan kelestarian dalam industri pelancongan dijangka mampu melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi di peringkat antarabangsa.

Dengan kekuatan kepelbagaian alam semula jadi, bangsa, budaya, warisan dan tradisi dan digabungkan dengan peralihan ke arah kelestarian, Malaysia mampu seiring dengan trend global yang mementingkan kesimbangan aktiviti ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.

Menyedari bahawa keseimbangan antara aktiviti ekonomi pelancongan dan impaknya terhadap alam sekitar dan komuniti kini bukan lagi satu pilihan malah satu kemestian, United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) menganjurkan Persidangan Pelancongan Lestari 2024 dengan tema Tourism and Peace: Rebuilding Tourism Resilience and Readiness Towards Sustainable Tourism pada 10 Oktober 2024 di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kerjasama tiga organisasi penganjur ini mencerminkan kepentingan pendekatan keseluruhan negara dalam menjamin kelestarian dan kemampanan ekonomi dan industri pelancongan Malaysia. Lebih membanggakan, 200 persatuan, syarikat perusahaan pelancongan, institut pengajian tinggi dan organisasi bukan kerajaan menyatakan komitmen penuh dalam melaksanakan amalan pelancongan lestari.

Turut berlangsung seiring dengan persidangan ialah kemuncak bengkel Sustainable Tourism Industry Champion yang bertujuan membina kepakaran, pengetahuan dan kemahiran pemain industri pelancongan dalam amalan pelancongan lestari melalui enam siri keseluruhan yang bermula pada pertengahan tahun 2024.

Siri kemuncak ini mengiktiraf 35 pemain industri sebagai peneraju dalam pelancongan lestari.

Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) Rohizam Md Yusoff berkata, peralihan besar kepada pelancongan lestari mampu menarik pelancong bernilai tinggi ke Malaysia.

Menurutnya, pelancongan berasaskan alam semula jadi (NBT), satu cabang utama pelancongan lestari, boleh berkembang sehingga USD14.4 bilion menjelang tahun 2027.

“Laporan Bank Dunia mendapati bahawa potensi NBT di Malaysia amat besar merangkumi destinasi, aktiviti, dan produk pelancongan dengan permintaan 43.8 juta pelancong NBT dari negara utama seperti United Kingdom, Jepun, Australia, dan Singapura.

“Pelancongan lestari strategi bagi meningkatkan pertumbuhan dan daya tahan industri pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata kekuatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mampu seiring dengan trend global seperti aktiviti pelancongan berimpak rendah ke atas persekitaran, menyumbang semula kepada komuniti setempat dan mendalami budaya, seni dan tradisi tempatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Zahid Ismail yang menyelia aktiviti Nexus Produktiviti berpendapat industri pelancongan Malaysia kini sedang giat bagi menyambut pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Di samping itu, menurutnya, perhatian perlu diberi kepada peningkatan produktiviti secara mampan dan berterusan supaya industri pelancongan dapat memberi perkhidmatan berkualiti dan pengalaman terbaik kepada pelancong, mampu berdaya tahan dan aktiviti ekonomi pelancongan boleh berkembang rancak.

“Amalan pelancongan lestari yang seiring dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu diberi tumpuan sebagai strategi dalam mengukuhkan keberadaan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan utama.

“Kesan limpahan industri pelancongan kepada ekonomi negara amat besar kerana rantaian nilai industri pelancongan yang meliputi pelbagai unit daripada syarikat penerbangan, perhotelan, tempat tarikan pelancong, makan dan minuman, lokasi membeli-belah sehingga kepada operator aktiviti pelancongan,” katanya.

Bercakap dari perspektif industri perhotelan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Association of Hotels (MAH) Isaac Raj berkata bahawa amalan pelancongan lestari perlu diterapkan dalam pengurusan penginapan pelancongan.

Beliau antara pemain industri menerima pengiktirafan sebagai Sustainable Tourism Industry Champion ketika persidangan.

“Ahli MAH seramai 1,100 komited untuk menerapkan amalan kelestarian dan ESG dalam pengurusan hotel. Pengiktirafan yang diterima dan bengkel pelancongan lestari yang diadakan menjadi titik permulaan yang baik untuk memberi kesedaran dan melaksanakan amalan kelestarian dengan lebih meluas.

“Kerjasama pihak industri dengan UNDP membentuk sinergi dan asas yang baik untuk perniagaan pelancongan beralih kepada pelancongan hijau dengan lebih serius,” katanya.

Persidangan dihadiri lebih 300 penggiat dan pemain industri tempatan dan luar negara ini bertindak sebagai platform untuk membincangkan amalan pelancongan lestari di Malaysia dan bertujuan mengetengahkan amalan terbaik pelancongan lestari dalam negara.

Persidangan selama sehari tersebut turut menonjolkan produk pelancongan yang melaksanakan amalan kelestarian, yang boleh dijadikan amalan terbaik pemain industri. Melalui pengurusan yang lebih baik dan penggunaan teknologi untuk memantau impak pelancongan, Malaysia boleh memastikan bahawa kehadiran pelancong tidak memberi tekanan berlebihan kepada ekosistem yang sensitif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top