Skuad Harimau Malaya mahu meraih kemenangan ke atas Laos dalam aksi persahabatan di Bangkok pada malam Khamis. Foto FB FAM
TIADA impian lain buat skuad bola sepak negara apabila akan berdepan Laos dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok pada malam Khamis kecuali kemenangan.
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mahu pemain meraih kemenangan sebagai penawar duka selepas tewas kepada New Zealand dalam saingan di Auckland bulan lepas.
“Ini satu peluang yang baik untuk kita. Kita datang (ke Bangkok) selepas tewas di New Zealand.
“Kita sedih dan kecewa dengan keputusan perlawanan lalu. Itu sebab kita bekerja keras untuk aksi seterusnya menentang Laos untuk pastikan kita berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temuramah yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook badan induk itu pada Rabu.
Untuk rekod, Malaysia melakar rekod bersih sepanjang lima aksi persahabatan ke atas Laos sejak 2012 dengan kali terakhir pada Disember 2022 dengan kemenangan 5-0.
Menyentuh mengenai persiapan pasukan, Pau Marti meluahkan rasa puas hati dengan kesungguhan yang diperagakan para pemain termasuk beberapa muka baharu.
“Bagi aksi kali ini, kita ada skuad yang lebih muda daripada skuad sebelumnya. Jadi, ini satu peluang bagus buat pemain-pemain.
“Kita mahu bersaing dan mendapatkan keputusan yang bagus menentang Laos. Namun lebih baik kita fokus kepada diri sendiri, bagaimana untuk kita beraksi pada tahap terbaik.
“Ini satu peluang baik buat para pemain untuk menunjukkan keupayaan mereka,” katanya.
Selepas aksi menentang Laos, skuad Harimau Malaya akan terbang ke Hyderabad untuk menentang India pada Isnin.