Malaysia komited laksana agenda pembangunan sektor telekomunikasi & teknologi digital Asean

Malaysia komited laksana agenda pembangunan sektor telekomunikasi & teknologi digital Asean

Boracay (Filipina): Malaysia akan terus aktif memberikan sumbangan kepada agenda pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital rantau ASEAN.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, komitmen ini akan dilaksanakan melalui projek yang digariskan dalam Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada Januari 2021.

ADM2025 menyenaraikan lapan sasaran, antaranya mempercepat pemulihan ASEAN daripada Covid-19, peningkatan kualiti dan liputan infrastruktur jalur lebar, penyampaian perkhidmatan digital bermutu dan pasaran kompetitif yang mampan untuk bekalan perkhidmatan digital

Ini selari dengan penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3 (ADGMIN3) dalam memperkukuh peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial ASEAN pasca Covid-19.

Bercakap kepada Bernama, Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke ADGMIN3 yang berlangsung di sini pada semalam dan hari ini, menyifatkan mesyuarat berkenaan sebagai dua hari yang padat dan berhasil.

“Penekanan turut diberikan kepada isu ‘scam’ (penipuan) dan keselamatan siber, selain komitmen untuk bekerjasama meningkatkan pendigitalan dan kerjasama yang lebih baik dalam ekonomi digital. Kita juga membincangkan tentang privasi data, perlindungan data dan penggunaan data rentas negara.

“Ia sesi yang sangat baik, saya mengharapkan lebih banyak usaha dalam sektor ini dalam masa terdekat. Akan ada banyak susulan di peringkat kementerian, bukan sahaja memperkukuh aspek dua hala tetapi juga dalam konteks ASEAN bagi membangunkan rangka kerja kawal selia tertentu,” katanya.

Mesyuarat ADGMIN3 yang bertemakan ‘Synergized ASEAN: Human-Centric Approach to a Sustainable Digital Transformation’ dipengerusikan Menteri di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Filipina Ivan John E. Uy.

Mesyuarat itu turut memperakukan Deklarasi Boracay yang menggariskan komitmen negara anggota ASEAN pada 2023 dalam memantapkan jalinan kerjasama pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital.

Bagaimanapun, Fahmi menegaskan segala persetujuan yang dibuat pada mesyuarat tersebut tidak melambangkan pendirian Malaysia dalam mengiktiraf Majlis Pentadbiran Negara Myanmar (SAC) sebagai kerajaan yang sah.

“Malaysia sentiasa menekankan pendirian agar pihak SAC menyegerakan pelaksanaan untuk mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top