Dilaporkan lebih ramai graduan perubatan dari Malaysia memilih untuk kerja di Singapura kerana tawaran gaji yang lebih tinggi dan sehingga kini, negara ini masih mengalami isu yang sama walaupun menjadi bahan bualan sejak beberapa tahun yang lalu.
Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan dari Public Health Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook yang berkata Malaysia menghadapi masalah ‘brain drain’ atau penghijrahan cendekiawan sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.
Malaysia hilang pakar perubatan, doktor muda memilih kerja di Singapura
Menurut Public Health Malaysia, ramai graduan memilih untuk berkhidmat di Singapura kerana gajinya yang lebih tinggi, beban kerja lebih terkawal dan laluan kepakaran lebih jelas.
“Di sana, seorang doktor muda boleh menerima gaji mencecah RM13,000 hingga RM17,000 sebulan, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di Malaysia.
“Beban kerja mereka lebih tersusun dengan sistem sokongan yang lebih baik. Di Malaysia, ramai doktor muda terbeban dengan waktu kerja yang tidak menentu, sistem birokrasi yang lambat dan peluang kepakaran yang terlalu terhad,” katanya.
Doktor muda pilih kerja di Singapura, gaji tinggi dan kerja lebih teratur
Gambar hiasan
Ujarnya lagi, setiap tahun Malaysia melahirkan graduan perubatan terbaik dari universiti awam dan kerajaan melabur ratusan ribu untuk pelajar-pelajar ini bagi memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik.
“Namun selepas bertahun-tahun dilatih dengan wang rakyat, ramai di antara mereka memilih untuk berhijrah ke Singapura. Ini bukan sekadar soal pekerjaa. Ini soal masa depan sistem kesihatan kita
“Malaysia bukan sahaja kehilangan tenaga pakar namun terpaksa menanggung kerugian RM15 juta hingga RM25 juta setiap tahun dalam bentuk subsidi pendidikan,” maklumkanya.
Dalam pada itu, Public Health Malaysia menegaskan perkara ini bukan isu kecil yang boleh diabaikan kerana sistem kesihatan negara tidak boleh terus kehilangan tenaga kerja yang menjadi tulang belakang perkhidmatan awam.
Ramai graduan perubatan tinggalkan Malaysia, kerja di Singapura
“Kita sering dengar keluhan tentang kekurangan doktor, hospital sesak dan masa menunggu yang terlalu lama. Tetapi bagaimana nak selesaikan masalah ini kalau doktor-doktor terbaik kita terus meninggalkan negara?
“Kita sedang melatih tenaga kerja berkualiti tinggi, tetapi akhirnya negara lain yang menikmati hasilnya. Ini bukan isu kecil yang boleh diabaikan. Kita perlu ubah cara kita menghargai doktor muda sebelum semuanya terlambat.
“Sistem kesihatan negara tidak boleh terus kehilangan tenaga kerja yang sepatutnya menjadi tulang belakang perkhidmatan awam. Jika tiada langkah segera diambil, Malaysia akan terus rugi, dan yang paling terkesan akhirnya adalah rakyat sendiri,” ujarnya.
Artikel lain: Kerjaya Doktor: Dihargai di luar negara, diperah KKM di tanah air sendiri
Baru-baru ini juga, seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Putrajaya, Rafidah Abdullah mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarganya yang memilih untuk berkhidmat di sebuah hospital di New Zealand.
Doktor pilih kerja di Singapura atau negara lain
Menurutnya, ahli keluarganya itu merupakan seorang doktor yang sangat berdedikasi dan berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan hampir tamat program kepakaran parallel.
“Di Jabatan Kecemasan, mereka bekerja syif. Sama seperti paramedik, mereka disuruh bekerja 45 jam, tambah jam. Tidak diberi kesempatan memberi pendapat, tiada libat urus. Tahu-tahu implementasi di lapangan,” kongsinya.
Susulan itu, sebaik menerima tawaran sebagai registrar (pendaftar) di sebuah hospital di New Zealand, ahli keluarga Rafidah tidaak teragak-agak untuk menerimanya dan meninggalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Beliau menerima tawaran bekerja di New Zealand sebagai registrar. Tidak teragak-agak untuk meninggalkaan KKM. People are leaving. Kalau ini bukan tanda-tanda kegagalan, saya tak tahu nak cakap apa.
“Dia tak rugi, saya tak rugi. Yang rugi rakyat Malaysia,” katanya.
Pada masa yang sama, seorang doktor yang berkhidmat Pakar Bedah Ortopedik, Dr Mahyuddin Mohamed mendedahkan Singapura juga memilih untuk mengambil pakar perubatan dari universiti awam Malaysia.
Menurutnya, gaji jururawat dari Malaysia yang baru mula bekerja di Singapura setara dengan gaji yang dibayar kepada doktor houseman di negara ini.
Doktor kerja di Singapura kebanyakan dari universiti awam Malaysia
“Majoriti pakar perubatan di Singapura adalah graduan dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ramai sebenarnya, gaji lebih tinggi, kerja lebih teratur.
“Jururawat pun sama. Ramai yang kerja Singapura. Yala, sebab gaji fresh nurse dari Malaysia di Singpaura setara dengan gaji doktor houseman di Malaysia. Harapnya yang diatas buka mata,” luahnya.
Sumber: Facebook Public Health Malaysia & Rafidah Abdullah, X DrMahyudin