PETALING JAYA: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara terus dilanda badai setelah mencatatkan kekalahan kedua berturut-turut dalam Kejohanan Piala Dunia 2023 di Croatia selepas tumbang 5-2 di tangan Argentina dalam aksi Kumpulan B, hari ini.
Kekalahan ini menyusul rentetan keputusan pahit semalam apabila skuad kebangsaan dihempas Jerman 12-4.
Di bawah bimbingan Rodzhanizam Mat Radzi, skuad Malaysia jelas masih gagal menemui rentak terbaik dalam saingan peringkat kumpulan.
Tersentak dengan jaringan awal Argentina, Malaysia berusaha bangkit dan berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-39 menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Namun, harapan untuk bangkit musnah seketika apabila Argentina melesakkan dua gol lagi dalam tempoh singkat menerusi Alfredo Sosa dan Agustin Ceballos, masing-masing pada minit ke-39 dan ke-40.
Kekalahan ini mengekalkan kedudukan Malaysia di tangga tercorot Kumpulan B, di belakang Argentina dan Iran. – UTUSAN