Malaysia cadang naik taraf 100 taman awam setahun

Malaysia cadang naik taraf 100 taman awam setahun

PUTRAJAYA – Malaysia bercadang untuk menaik taraf taman-taman awam di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti bandar serta menyediakan ruang rekreasi yang selesa untuk masyarakat setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyatakan bahawa terdapat cadangan untuk membina dan menaik taraf 100 taman awam setiap tahun dalam tempoh sepuluh tahun akan datang dengan sasaran 1,000 taman baharu atau yang diperbaharui menjelang 2034.

“Tindakan ini selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan ruang yang sihat dan selesa bagi masyarakat di kawasan bandar.

“Permintaan untuk lebih banyak ruang hijau semakin mendesak, khususnya di kawasan yang padat dan sedang membangun dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau telah mengusulkan kerjasama dengan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) untuk mempromosikan pembangunan ruang hijau dan memperbanyakkan taman awam di seluruh Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anacláudia Rossbach, dalam Forum Bandar Sedunia ke-12 yang berlangsung di Kaherah, Mesir, dari 4 hingga 8 November lalu

Kor Ming menyampaikan cadangan ini dalam pertemuan dua hala bersama Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anacláudia Rossbach, sempena Forum Bandar Sedunia ke-12 yang berlangsung di Kaherah, Mesir, dari 4 hingga 8 November lalu.

Tambahnya, beliau menjelaskan bahawa sejumlah RM100 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 untuk pembangunan dan penambahbaikan 100 taman rekreasi di seluruh negara.

Menurutnya, dana ini akan dimanfaatkan untuk memastikan setiap taman yang dibina memenuhi keperluan masyarakat dan mematuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.

Dengan komitmen Malaysia dalam pembiayaan projek ini serta kerjasama antarabangsa, beliau yakin bahawa impian untuk menjadikan Malaysia lebih hijau dan lestari akan dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Scroll to Top