Malaysia berpotensi muncul juara Piala Sudirman 2025 – Rashid

Malaysia berpotensi muncul juara Piala Sudirman 2025 – Rashid

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek percaya Malaysia akan dibarisi barisan pemain terkuat dalam sejarah bagi menghadapi saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei tahun depan.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata, lonjakan prestasi ditunjukkan barisan pemain negara termasuk dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou yang berakhir semalam, menyaksikan Malaysia berpotensi untuk merangkul gelaran sulung di kejohanan berpasukan campuran itu.

Katanya, skuad negara akan menjadi pasukan memiliki kekuatan hampir menyeluruh menerusi kualiti pemain yang ada dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

“Kalau kita tengok sekarang kecuali perseorangan wanita, kita mempunyai pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam empat lagi acara iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

“Malah, dalam semua empat acara itu kita ada barisan kedua yang kita turut boleh letakkan harapan untuk menyumbang mata.

“Ini satu petanda sangat positif. Jika dulu kita hanya ada dua atau tiga yang kuat, tetapi sekarang kita ada kekuatan dalam empat acara itu yang memang berpeluang tinggi bagi menyumbang mata.

“Mereka sudah membuktikan boleh menewaskan jaguh dunia yang lain. Jadi, saya fikir ini adalah peluang terbaik kita untuk menjadi juara buat kali pertama,” kata Rashid.

Dalam acara perseorangan lelaki, Malaysia boleh bergantung harap kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia dan naib juara Masters Kumamoto, Leong Jun Hao.

Kehadiran juara Terbuka China dan naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selain bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pastinya akan menambah ‘sengat’ skuad negara dalam acara beregu lelaki.

Pearly Tan-M Thinaah sudah pasti akan menjadi taruhan bagi acara beregu wanita manakala dua beregu campuran iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang menyerlah di Jelajah Dunia Akhir BWF turut berpotensi menjadi penyumbang mata kepada Malaysia.

Menurut Rashid, apa yang perlu dilakukan pemain berkenaan adalah terus bekerja keras bagi melonjakkan prestasi mereka dan kekal konsisten.

“Yang paling penting kena konsisten. Kalau ikutkan standard pemain kita sudah sama dengan jaguh dunia yang lain.

“Yng bezakan adalah prestasi pada hari perlawanan nanti,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah tiga kali melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

China mendominasi kejohanan itu dengan 13 kali muncul juara diikuti Korea Selatan tiga kali manakala Indonesia satu kali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top