Malaysia akan teruskan hubungan baik, tidak akan benarkan mana-mana pihak tekan negara ini – Anwar

Malaysia akan teruskan hubungan baik, tidak akan benarkan mana-mana pihak tekan negara ini – Anwar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas untuk terus memastikan Malaysia tidak terperangkap dalam ‘perang ekonomi’ antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, Malaysia secara terbuka mengekalkan pendirian untuk mempunyai hubungan yang baik dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak memberi tekanan kepada negara ini.

“Hubungan Malaysia dan China adalah untuk demi kepentingan rakyat, ekonomi, pembangunan dan keutuhan negara, malah hubungan dagang dengan AS juga masih kukuh umpamanya eksport semikonduktor ialah 60 peratus ke AS.

“Prinsip Malaysia ialah dagang secara bebas, pelaburan kita galakkan tetapi tidak perlu sedikit menjejaskan Malaysia kerana kita negara merdeka, bebas dan berdaulat.

“Malaysia ambil sikap siapa yang baik dan jadi kehadiran Presiden China ini kita tidak pernah merasakan satu permasalahan atau tekanan kerana kita juga dianggap sebagai satu negara yang sudah setara dengan China.

“Ini kerana kita adalah dua negara yang bersahabat, kita berbincang, diberi penghormatan, jadi bagi saya itu satu yang sangat bermakna,” katanya dalam sesi temubual eksklusif bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Lawatan Rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Anwar berkata, sejak dua tahun lalu, Malaysia memang meningkatkan hubungan dagang dan pelaburan termasuk dengan negara jiran, bagaimanapun sambutan dan kesediaan kerjasama bersama China disifatkan amat baik.

“Kita lihat pelaburan dan perdagangan sudah meningkat, kerjasama universiti turut meningkat hingga beri peluang latihan TVET bertambah selain kerjasama budaya dan pelancongan.

“Ini memberi manfaat kepada negara dan rakyat terutama dalam bidang teknologi dan industri yang mana dapat dilihat dalam projek-projek besar,” katanya.

Beliau menambah, walaupun terdapat kejutan tarif dilakukan AS, Malaysia adalah negara dagang dan percaya kepada perdagangan bebas, jadi jika ada sekatan, tentunya akan menjejaskan.

“Bagaimanapun, menyentuh mengenai China, lain konteksnya kerana China adalah jiran, Malaysia tidak menghadapi masalah dan kekuatan ekonomi China memberi manfaat kepada negara.

“Jadi, saya mengambil sikap selagi orang berkawan baik dengan kita, kita harus sambut baik kepada mereka,” katanya sambil menegaskan setiap permasalahan yang timbul boleh dilakukan dengan cara rundingan baik.

Justeru, beliau berkata, setiap negara harus menggalakkan persahabatan dengan mana-mana negara, tentunya keutamaan ke negara Asean dan Asia.

“Kita ambil sikap terbuka dan berbaik, cuma saya tegaskan sebagai negara yang bebas, juga perlu menjaga kepentingan rakyat, pekerjaan, pendidikan dan tingkat penguasaan teknologi mereka.

“Saya rasa negara China sebagai sahabat boleh sama-sama membantu memperkaya dan menambah peluang ekonomi kedua-dua pihak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top