Malaysia akan terus perjuangkan isu Palestin: PM

Malaysia akan terus perjuangkan isu Palestin: PM

Manama, Bahrain: Malaysia akan terus bersuara memperjuangkan isu rakyat dan Palestin yang sedang berdepan kezaliman dan kekejaman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Malaysia adalah sebuah negara bebas dan berdaulat, serta boleh menyatakan pendirian di mana-mana sahaja.

“Kita punyai pendirian dan ini sudah kita suarakan dengan tegas di merata tempat. Kita bukan memilih untuk memusuhi sesiapa tetapi mana sahaja bentuk kezaliman dan kekejaman, (mereka yang dizalimi) harus kita bela dan perjuangkan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa dan akan berlepas pulang ke ibu negara, 5 petang waktu tempatan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan terdapat dakwaan kononnya Anwar dinasihatkan supaya tidak terlalu tegas berhubung isu Hamas dan Israel bagi mengelakkan tindak balas daripada Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri berkata usaha Malaysia membantu pihak terkesan akibat kezaliman bukan perkara baharu malah digerakkan sejak sekian lama termasuk ketika perang Bosnia dan era apartheid di Afrika Selatan.

“Jadi dalam isu Palestin, dibanding dengan semua ini, sudah mengalami kehancuran sedemikian rupa dan sebab itu kita beritahu kepada sahabat kita di negara Teluk, dunia Arab dan Islam, kita harus berikan (bantuan), malah yang kita berikan itu, bagi saya agak terlalu kecil.

“Jadi mungkin dalam beberapa hari ini, apabila ada acara untuk Palestin, saya mahu rakyat bersama memberikan pandangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top