Malaysia akan terus jual minyak sawit ke AS

Malaysia akan terus jual minyak sawit ke AS

am@hmetro.com.my

Tapah: Malaysia akan terus menjual minyak sawit ke Amerika Syarikat (AS) biarpun tarif timbal balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan kerajaan negara itu ke atas Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, arahan penjualan minyak sawit Malaysia kepada AS itu diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta dipersetujui beliau sendiri.

“Tidak ketinggalan Yang Berhormat Datuk Seri Johari Ghani, beliau akan terus menjual minyak sawit di AS walaupun tarif yang akan dikenakan itu.

“Ia arahan Perdana Menteri kepada beliau dan saya juga setuju.

“Harus menjual dengan lebih banyak kepada AS… Bagaimana hendak buat, itu terletak pada kebijaksanaan beliau,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini hari ini.

Hadir sama, Johari; serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Zahid berkata, permasalahan kenaikan tarif yang dikenakan oleh AS tidak wajar dipolitikkan khususnya semasa atau mendekati kempen PRK DUN Ayer Kuning, memandangkan ia isu sejagat yang menekan negara secara keseluruhan.

Sebaliknya, beliau menggesa rakyat tanpa mengira latar parti bersatu hati dalam mendepani masalah yang dikenakan oleh pentadbiran AS itu yang tidak terhad hanya kepada Malaysia, malah meliputi rantau Asean serta global.

“Ini adalah masalah yang dihadapi oleh negara hatta kepada pembangkang sekali pun, memandangkan ia adalah tekanan yang diberikan oleh pentadbiran AS.

“Sepatutnya demi kepentingan negara kita harus bersatu hati untuk menyantuni dan mendepani masalah ini.

“Jangan jadikan Ayer Kuning ini sebagai tempat untuk melempiaskan rasa amarah dengan berbagai-bagai isu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd