Malaysia akan terus jalin hubungan baik dengan semua negara – PM

Malaysia akan terus jalin hubungan baik dengan semua negara – PM

am@hmetro.com.my

Ipoh: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat untuk menjauhi pemikiran yang disifatkan rosak dan terjajah apabila menganggap hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan China khususnya yang membawa masuk pelaburan bermaksud Malaysia akan menyebelahi China dalam segala hal.

Perdana Menteri berkata, dasar yang diamalkan kerajaan ketika ini adalah mengadakan hubungan baik dengan semua negara khususnya negara yang menyatakan keinginan melabur di Malaysia, biarpun terdapat persengketaan dengan kuasa besar lain.

Menurutnya, China dianggap sebagai negara yang penting di rantau ini berikutan kekuatan ekonominya di samping baru-baru ini, mengejutkan dunia dengan pelancaran DeepSeek yang menggoncang industri kecerdasan buatan.

“Di kampung-kampung ada orang bangkitkan (kononnya) kita serah semua kepada China…. Ini pemikiran yang rosak…. Kalau kita dulunya banyak Amerika (Amerika Syarikat) tak apa pula, dengan Eropah tak apa pula…. Ini mentaliti terjajah.

“Bagi kita siapa pun termasuk China yang datang melabur kita berikan galakan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita.

“Jangan kita terperangkap dengan fikiran lama iaitu hanya bergantung kepada satu negara. Kita terus baik dengan semua negara, tetapi kalau negara itu ada masalah dengan China, itu masalah dia…. Kenapa nak jadi masalah kita?” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tahun Baru Cina 2025 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCI) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Yang Dipertua PCCI, Datuk Liew Chee Ming.

Anwar berkata, justeru kekuatan Malaysia apabila menjalin hubungan baik dengan China harus dimanfaatkan tanpa mengambil kira persengketaan antara negara tembok besar itu dengan Amerika Syarikat.

“Sekarang kita teruskan juga dengan pelaburan dari Amerika Syarikat, kita baiki hubungan kita dengan Kesatuan Eropah, kita baiki hubungan dengan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), dan kita rapat dengan China.

“Bila saya lihat umpamanya beberapa perubahan dalam kecerdasan buatan (AI) yang dahulunya dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat. Namun tiga hari lepas penemuan baharu iaitu DeepSeek daripada China mengejutkan dunia.

“Semalam keluar pula lagi dari Alibaba. Maknanya kekuatan dengan China kita manfaatkan. Sebab itu saya kata jangan kita terperangkap dengan fikiran lama hanya bergantung kepada satu negara, sebaliknya kita terus baik dengan semua negara,” katanya.

Anwar berkata, beliau akan menerima pelbagai kunjungan pemimpin di beberapa negara yang disifatkan sebagai ‘pembesar-pembesar dunia’ satu demi satu antara bulan ini hingga Februari depan.

“Sampaikan kita terpaksa atur supaya jangan terlalu banyak kunjungan pada suatu masa. Kita sudah terima kunjungan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang saya minta beliau menjadi penasihat bersama kepada pasukan saya selaku pengerusi Asean.

“Kemudian selepas itu kita ada lawatan daripada Presiden Uzbekistan, dan Presiden Turkiye yang akan ke Malaysia sehingga Februari ini. Sebab kita perlukan kawan sekarang, jadi kita tak boleh bergantung seperti dulu kita memihak belah sana, belah sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top