Malayan Tigress kalah lagi

Malayan Tigress kalah lagi

PETALING JAYA: Kekalahan terus menyelubungi Malayan Tigress  dalam Kejuaraan Wanita AFF 2022 dan kali ini menjadi mangsa kepada Thailand dengan keputusan 4-0 pada aksi di Stadium Binan, Filipina.

Selepas tewas dengan jaringan yang sama kepada Filipina sebelum ini, tiada banyak perubahan dipamerkan anak didik Jacob Joseph Malaysia dengan strategi bertahan lebih diterapkan dan dilihat berjaya menyekat barisan serangan Thailand pada peringkat awal perlawanan.

Namun benteng Malayan Tigress roboh pada minit ke-24 hasil jaringan Ploychompoo Somnuek  dan keputusan 1-0 itu kekal untuk babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, jurang perbezaan jelas kelihatan dengan Thailand yang pernah beraksi di Piala Dunia Wanita sebelum ini mendominasi perlawanan.

Gol Malaysia bolos kali kedua pada minit ke 54 hasil jaringan Pattaranan Aupachai sebelum U-Raiporn Yongkul meletakkan Thailand selesa dengan jaringan ketiga pada minit ke-73.

Nutwadee Pram-Nak turut tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring gol keempat Thailand ketika perlawanan berbaki empat minit untuk ditamatkan separuh masa kedua.

Malaysia yang sudah pun tersingkir dari perebutan tempat ke separuh akhir akan melengkapkan jadual dengan bertemu Australia pada Selasa ini.-UTUSAN ONLINE

Scroll to Top