Malam Ehsan Untuk Insan anjuran MAPIM Bersama Ustaz Abdul Somad

Malam Ehsan Untuk Insan anjuran MAPIM Bersama Ustaz Abdul Somad

KUALA LUMPUR – Sempena dengan Sambutan Maal Hijrah 1446, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan program Malam Ehsan Untuk Insan esok.

Bertempat di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam – majlis yang bermula pada jam 6 petang itu akan diisi dengan pelbagai program di mana acara kemuncaknya adalah syarahan pendakwah tersohor dari Indonesia, Ustaz Dr. Abdul Somad yang akan berkongsi pandangan tentang apa yang berlaku di Gaza.

Tausiyah yang akan disampaikan beliau akan menyentuh peristiwa hijrah untuk muhasabah memperbaiki diri dan masyarakat ke arah pembelaan rakyat Gaza dan pembebasan bumi Al Quds daripada penjajahan zionis.

Selain itu, pelbagai gerai makanan dan minuman juga akan dibuka sepanjang acara untuk memudahkan para hadirin menikmati hidangan sambil menikmati persembahan dan ceramah.

Sempena cuti hujung minggu dan cuti peristiwa Awal Muharram, penganjur menjemput orang ramai untuk sama-sama memeriahkan majlis.

Menyentuh mengenai program yang dianjurkan, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Sani Araby Al-Kahery berharap Malam Ehsan Untuk Insan bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah 1446 dapat menjadi platform untuk kita semua memperbaharui tekad dan semangat hijrah dalam diri masing-masing.

“Kami amat berbesar hati dengan kerjasama erat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan program Malam Ehsan Untuk Insan ini. Acara ini bukan sahaja untuk menyemarakkan tahun baru Islam Maal Hijrah tetapi juga untuk mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia juga diharapkan dapat memupuk rasa kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette