mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain piano terkemuka, Maksim Mrvica berjanji menampilkan persembahan memukau buat peminat yang menghadiri sesi jelajah Maksim Segmenti World Tour yang akan berlangsung di Mega Star Arena, KL, jam 8.30 malam esok.
Pemain piano ‘classical crossover’ dari Croatia ini berkata, peminat Malaysia menyambut baik kehadirannya dan sambutan terhadap persembahannya tidak pernah mengecewakan.
“Saya sudah beberapa kali hadir ke Malaysia dan berasa sangat gembira untuk kembali menghiburkan peminat dalam sesi jelajah dunia ini. Rasanya mereka pun ternanti-nanti kehadiran saya.
“Istimewanya, saya akan beraksi dengan orkestra dan akan membawakan repertoir gubahan asal dan variasi daripada album terbaharu ‘Segmenti’ yang menampilkan hit popular ABBA dan Queen.
“Selain itu saya turut akan membawakan karya agung klasik yang abadi dari Chopin, Prokofiev dan Tchaikovsky,” katanya ditemui pada sesi sidang media di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, hari ini.
Mrvica mula didedahkan dengan piano ketika berumur sembilan tahun. Walaupun perang tercetus pada zaman remajanya, dia tetap mempelajari instrumen itu.
Beliau dilatih secara klasik di Akademi Muzik Zagreb, Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest, Hungary dan Konservatori Rusia Alexander Scriabin di Paris, Perancis.
Namanya melonjak naik menerusi album ‘The Piano Player’ yang dikeluarkan pada tahun 2003.
Album ini sangat popular terutama di Asia dan memperkenalkan gaya klasik crossover Mrvica kepada dunia.
Mrvica mampu mencecah 16 nota dalam sesaat. Karya terkenalnya termasuk ‘Croatian Rhapsody’, di samping rendisi ‘Flight of the Bumblebee’ serta tema daripada ‘Pirates of the Caribbean’, ‘Game of Thrones’ dan ‘Mission Impossible’.
“Saya tidak sabar untuk bertemu peminat. Segala persiapan sudah dilakukan secukupnya. Diharapkan mereka tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan ini,” katanya.
Mrvica terus menghasilkan album lain seperti Variations Part I & II (2004), A New World (2005) dan Greatest Maksim (2008), yang mengukuhkan statusnya sebagai bintang dalam genre klasik moden.
Tiket umenyaksikan persembahan anjuran Lo-Fi Entertainment ini bermula daripada RM188 hingga RM888.
© New Straits Times Press (M) Bhd