Sebut saja nama Shaheizy Sam, pasti ramai tahu pelakon itu sememangnya terkenal dengan perubahan fizikal daripada gemuk kepada kurus dalam masa yang singkat.
Memetik Utusan Online, Sam berkata dia hanya makan sekali sehari ketika tubuhnya dalam keadaan benar-benar lapar seperti yang diamalkan Rasulullah.
BACA: Zizie Izette Puji Shaheizy Sam Sanggup Tambah Berat Badan Demi Jayakan Watak
Berjaya menurunkan berat badan sebanyak 19 kilogram, Sam mengikut pendekatan penjagaan kesihatan yang diamalkan Nabi Muhammad dan sudah diamalkan sudah lebih 10 tahun.
“Saya selalu ambil pendekatan logik, ideal bagi saya adalah kita tidak perlu makan sampai tiga hingga empat kali. Ambil contoh seperti Rasulullah, baginda kadang hanya makan kurma sahaja tapi tetap sihat, menang juga di medan perang.
“Jadi, mengapa kita makan sehari sekali pun tidak boleh? Ada juga yang pertikaikan tidak cukup nutrisi, tapi saya tanya semula, berapa kiraan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh saya?
“Saya sudah buat perkara ini lebih 10 tahun, ada nampak saya sakit? Badan saya sudah beradaptasi dengan kaedah ini. Cara ini pun saya lakukan selepas merujuk kepada pakar diet. Kalau selagi anda mampu,buatlah. Jika tidak mampu, tidak perlu,” katanya.
Selain hanya makan sekali sehari, Sam turut berpantang makan serta memastikan dia mengambil lebih banyak protein dan sayur-sayuran dalam pemakanan.
“Memang saya ada pantang makan. Rasanya ramai bersetuju apabila saya kata karbohidrat adalah punca membuatkan tubuh kita ketagih.
“Ramai tidak boleh makan sehari sekali sebab mereka ketagih, kadang mahu makan benda manis yang dilimpah coklat. Bagi saya, karbohidrat memang saya kurangkan cuma lebihkan protein dan sayur kerana itu penting,” katanya.
SUMBER: Harian Metro/ Utusan Online