Majlis 'bertandang' besar-besaran Siti Saleha, suami meriah, pilih tema Jawa

Majlis 'bertandang' besar-besaran Siti Saleha, suami meriah, pilih tema Jawa

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bertemakan perkahwinan Jawa, majlis resepsi pelakon popular, Siti Saleha, 35, dan suaminya, pereka fesyen, Joshua Fitton, 38, berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu di sebuah premis acara di Bemban, Melaka di sini, hari ini.

Pada majlis ‘bertandang’ di sebelah pihak lelaki itu, Siti Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum tampil jelita dengan busana pengantin Jawa sentuhan dari suaminya sendiri.

Ketika dihubungi, Siti Saleha berkata, dia dan suaminya bersyukur majlis resepsi di sebelah pihak lelaki secara besar-besaran di negeri kelahiran ibu mentuanya itu berjalan lancar seperti direncanakan.

“Alhamdulillah, majlis resepsi yang dirancang di sebelah pihak suami berjalan lancar dan dipermudahkan segalanya.

“Kami memilih majlis resepsi perkahwinan Jawa kerana suami berdarah jawa di sebelah ibunya. 

“Majlis juga berlangsung secara besar-besaran dengan kehadiran ramai tetamu kerana suami anak sulung dalam ‘family’ dan keluarganya sangat teruja melihatnya berkahwin,” katanya kepada Harian Metro.

Majlis resepsi juga dimulakan dengan pengantin bersanding di pelamin dan membabitkan acara pencak silat.

Selain barisan selebriti yang hadir seperti Dynas Mokhtar, Alicia Amin dan bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun  Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Terdahulu, Siti Saleha sah bergelar isteri kepada Joshua dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Janda Baik, Bentong, Pahang pada 15 Februari lalu.

Pada majlis pernikahan secara tertutup itu, Siti Saleha dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Baharum Abd Rahman.

Pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan. Manakala, jumlah mas kahwin sebanyak RM1,000 dan wang hantaran dirahsiakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top