MAIK pertimbang bantuan kepada 31 mangsa kebakaran di Kampung Kijang

MAIK pertimbang bantuan kepada 31 mangsa kebakaran di Kampung Kijang

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mempertimbangkan bantuan kepada 31 mangsa kebakaran membabitkan lapan rumah di Kampung Kijang, di sini, kelmarin.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah turun padang dan mengumpul maklumat bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan.

“Ada beberapa jenis bantuan yang boleh MAIK sumbangkan iaitu perumahan, persekolahan dan punca pendapatan yang hilang akibat bencana itu.

“Bantuan akan diberikan kepada mangsa mengikut kelayakan berdasarkan laporan yang kita terima dalam masa terdekat,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemungkinan besar mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu tidak akan berpindah atau membina kediaman baharu di lokasi lain.

Sehubungan itu, pihaknya akan mempertimbangkan untuk membayar sewa bagi mangsa yang ingin menyewa rumah, sementara kediaman baharu dibina.

“Kita akan pertimbangkan bantuan itu dan perkembangan seterusnya akan dibuat sebaik maklumat terperinci diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.

Media kelmarin melaporkan, 3 mangsa tinggal sehelai sepinggang selepas lapan rumah di Kampung Kijang musnah terbakar pada jam 4.48 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top