Beijing: Wanita di China meninggal dunia selepas menjalani enam pembedahan kosmetik dalam tempoh 24 jam.
Ia menyebabkan keluarganya memfailkan tuntutan saman berjumlah hampir 1.2 juta yuan (RM735,428.40) terhadap klinik yang mengendalikan prosedur berkenaan.
Kes itu bermula pada 9 Disember 2020, apabila wanita itu Liu, dari kawasan luar bandar di Guigang, wilayah Guangxi ke sebuah klinik di Nanning untuk menjalani pembedahan kosmetik.
Dia dilaporkan turut membuat pinjaman lebih 40,000 yuan (RM24,514.28) untuk membiayai kos menjalani enam prosedur kosmetik itu.
Pada sebelah petang 9 Disember, dia mula-mula menjalani pembedahan kelopak mata berganda diikuti hidung yang mengambil masa lima jam.
Kemudian diteruskan dengan prosedur sedutan lemak di pahanya sebelum ia disuntik ke bahagian muka dan payudaranya pada keesokan paginya yang juga berlangsung selama lima jam.
Bagaimanapun, pada 11 Disember, sebaik Liu dibenarkan keluar dan apabila sampai ke lif, dia tiba-tiba rebah di klinik itu.
Walaupun pelbagai usaha kecemasan dilakukan kakitangan klinik, dia terpaksa dipindahkan ke Hospital The Second Nanning People’s sebelum disahkan meninggal dunia lewat petang hari sama.
Laporan bedah siasat menunjukkan, dia meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan akut kerana embolisme pulmonari selepas sedutan lemak.
Wanita itu meninggalkan seorang anak perempuan dan anak lelakinya masing-masing berusia lapan dan empat tahun.
Keluarga Liu saman klinik itu di Mahkamah Rakyat Daerah Jiangnan di Kota Nanning dengan meminta pampasan sebanyak 1.18 juta yuan (RM723,171.26).
Suaminya berkata, pihak klinik menawarkannya 200,000 yuan (RM122,571.40) sebagai pampasan.
“Saya berkata bahawa sekurang-kurangnya satu juta yuan harus diberikan untuk kematian seseorang.
“Walaupun kita membahagikan tanggungjawab, ia masih harus sekurang-kurangnya 500,000 yuan.
“Saya menolak penyelesaian mereka dan memutuskan mencari keadilan di mahkamah,” katanya.
Siasatan mendedahkan, klinik itu mempunyai dokumen undang-undang yang diperlukan untuk menjalankan prosedur, dan dua doktor terbabit dalam mengendalikan prosedur Liu juga dilesenkan secara sah.
Malah, jumlah lemak yang dikeluarkan mematuhi piawaian perubatan.
Bagaimanapun, walaupun beberapa agensi ditugaskan oleh mahkamah meminta klinik menyediakan standard rawatan mereka, ia gagal mematuhinya.
Pada Mei 2021, mahkamah pada mulanya memutuskan klinik itu bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian Liu dan memerintahkan pampasan lebih daripada satu juta yuan (RM612,857).
Bagaimanapun, klinik membuat rayuan sebelum mahkamah menyemak pampasan kepada 590,000 yuan pada Ogos lalu, mengakui hanya sebahagian daripada tanggungjawab klinik.
Hakim di Mahkamah Rakyat Daerah Jiangnan, Li Shan berkata, penilaian menunjukkan, keadaan fizikal Liu sendiri mungkin menyumbang kepada kematiannya, yang membawa kepada penghakiman liabiliti bersama antara dia dan klinik.
“Penilaian menyimpulkan bahawa klinik gagal menilai risiko embolisme darah vena, mengenal pasti kesilapan tertentu dalam amalan perubatan mereka yang berkaitan dengan kematian pesakit,” kata Li Shan.
11hmliu: Liu maut selepas jalani enam prosedur kosmetik. FOTO Weibo
TAMAT
© New Straits Times Press (M) Bhd