Putrajaya: Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya berhubung rayuan oleh kerajaan, Majlis Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua pihak lain terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai penyelarasan pencen anggota ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Hakim Datuk Hashim Hamzah, yang mempengerusikan panel tiga hakim, memaklumkan kepada pihak-pihak terlibat dalam rayuan bahawa tarikh keputusan akan ditetapkan semasa sesi pengurusan kes pada 3 Feb depan.
Panel yang turut dianggotai oleh Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim mendengar rayuan difailkan oleh kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan Kanan dan Majlis ATM.
Mereka merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman pemula yang difailkan 50 pesara ATM terhadap perayu berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, mewakili kerajaan dan tiga pihak lain, berhujah pencen pesara ATM akan diselaraskan apabila terdapat semakan gaji.
Beliau berhujah bahawa pesara ATM tidak berhak mendapat penyelarasan pencen selepas 2012 kerana tiada semakan gaji sejak itu.
Ahmad Hanir, yang dibantu oleh Peguam Persekutuan M Kogilambigai, berkata terdapat lima semakan gaji dari 2002 hingga 2012 dan kerajaan telah membuat penyelarasan kepada pencen pesara ATM.
Beliau berkata, Garis Panduan Pelaksanaan Pindaan Syarat-Syarat Perkhidmatan ATM bertarikh 17 Jan 2013 dan Surat Pelaksanaan Kesetaraan Pangkat dan Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum (JGMM) bertarikh 14 Mac 2013 bukan pekeliling berkaitan semakan gaji dan pesara ATM tidak berhak mendapat penyelarasan pencen.
“Perayu telah memberikan layanan sama rata kepada semua pesara ATM tanpa mengira sama ada mereka bersara sebelum 1 Jan 2013 atau selepas 1 Jan 2013 kerana penyelarasan pencen semua pesara ATM adalah diatur berdasarkan Peraturan 54 Peraturan Pencen 1982.”
Beliau berhujah hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila membuat kesimpulan sendiri bahawa Garis Panduan 2013 dan JGMM telah menafikan penyelarasan pencen pesara ATM.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili bekas anggota ATM, membalas dengan mengatakan bahawa kerajaan telah gagal melaksanakan penyelarasan pencen baharu bagi semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Beliau berkata, terdapat jurang pencen yang ketara antara pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 dan mereka yang bersara selepas 1 Jan 2013.
Mohamed Haniff Khatri berkata perbezaan amaun pencen adalah berikutan kelulusan Garis Panduan 2013 yang memperuntukkan antara lain, perubahan dalam syarat perkhidmatan anggota ATM termasuk penambahbaikan gaji, elaun dan faedah melalui pelaksanaan JGMM.
Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan JGMM tidak terpakai kepada pesara yang bersara pada atau sebelum 1 Januari 2013.
Pada 5 Februari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad Said memutuskan semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 berhak untuk mendapatkan penyelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang ditetapkan bagi kesemua pesara ATM yang bersara selepas 1 Januari 2013.
Seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 dan menamakan kerajaan, perdana menteri, menteri kanan pertahanan dan Majlis ATM sebagai defendan.
© New Straits Times Press (M) Bhd