Selepas melalui tempoh panjang dalam proses perundangan, penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, telah sebulat suara membenarkan rayuan akhir Yasin untuk mengetepikan semua hukuman.
Hukuman itu adalah penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Yasin Sulaiman ditempatkan ke Hospital Bahagia…
Meskipun dilepas dan dibebaskan, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 50, akan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, sebagaimana yang diperintahkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya telah melepas dan membebaskan Yasin atas tiga pertuduhan dadah.
Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos tahun lalu telah mengenakan semula hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap beliau.
Antara pertuduhan yang dihadapi Yasin termasuk memiliki dadah jenis Kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok Kanabis, dan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya.
Kesemua pertuduhan itu membawa hukuman berat, termasuk penjara seumur hidup dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pssttt! Kisah Yasin Sulaiman ini mengingatkan kita bahawa perjalanan keadilan kadang-kadang mengambil masa yang panjang dan penuh liku. Apa jua cabaran, teruskan berusaha mempertahankan kebenaran dengan penuh kesabaran. Semoga Yasin terus kuat untuk meneruskan kehidupannya selepas episod hitam ini.