Mahkamah benar SC batal jaminan terhadap Azhidi

Mahkamah benar SC batal jaminan terhadap Azhidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk membatalkan jaminan Mohd Azhidi Laili (Azhidi) selepas dia melarikan diri ketika dibicarakan bagi pertuduhan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Azhidi ditahan semalam dan dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azrul Darus hari ini.

SC membuat permohonan untuk membatalkan jaminan Azhidi atas pelanggaran syarat jaminannya kerana gagal hadir di mahkamah sebanyak dua kali dan juga gagal melaporkan kepada Pegawai Penyiasat SC seperti yang dikehendaki pada 2 Mei 2024.

Mahkamah bersetuju dengan hujahan SC dan terus membatalkan jaminan Azhidi.

Dia kemudiannya ditahan dan akan direman sementara menunggu perbicaraannya selesai.

Azhidi pertama kali dipertuduhkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 Februari 2022 atas pertuduhan yang berkait dengan perbuatan-perbuatan memperdayakan sembilan pelabur sebanyak hampir RM1.45 juta antara Mei 2013 dan Mac 2014.

Dia juga dipertuduhkan kerana mengemukakan diri sebagai wakil AmFutures Sdn Bhd tanpa memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal.

Azhidi telah meminta dibicarakan terhadap pertuduhan-pertuduhan tersebut dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua orang penjamin, sementara menunggu perbicaraan terhadapnya selesai.

Di samping itu, dia turut diarahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri kepada IO SC sebulan sekali.

Perbicaraan terhadap Azhidi kemudiannya diteruskan dan sehingga kini, SC telah memanggil 18 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan di mahkamah.

Pada 15 April 2024, Azhidi gagal menghadiri mahkamah untuk satu sebutan kes, di mana SC telah memohon supaya waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Sesyen telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Akibatnya, SC menyenaraikan Azhidi sebagai orang dikehendaki di laman web dan platform media sosialnya sebagai sebahagian daripada pelbagai usaha untuk mengesannya.

Walaupun begitu, Azhidi kekal bebas dan gagal hadir di mahkamah untuk sebutan kes berikutnya pada 15 Mei 2024.

Beliau juga gagal melaporkan kepada IO SC untuk laporan bulanan seperti yang dikehendaki pada Mei 2024. – MalaysiaGazette