Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketara dalam sektor penerbangan pada 2024, didorong oleh pertambahan 12 syarikat penerbangan baharu, 16 penerbangan yang disambung semula dan 24 destinasi baharu, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Dalam kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pintu masuk antarabangsa paling sibuk di negara ini, menerima beberapa syarikat penerbangan antarabangsa.
Katanya lapangan terbang serantau juga mendapat manfaat daripada trafik udara yang meningkat dengan penerbangan terus baharu ke destinasi seluruh Asia dan luar Asia.
Antara 12 syarikat penerbangan baharu tersebut ialah Air Macau, Iraqi Airways, Turkmenistan Airlines, Cambodia Airways, Qingdao Airlines, AirAsia Cambodia, Loong Air dan Air India, semuanya beroperasi dari KLIA.
Destinasi baharu yang dihubungkan dengan KLIA pada 2024 termasuklah Almaty, Ashgabat, Baghdad, Chiang Rai, Lam Dong, Labuan Bajo, Jaipur, Nairobi, Nanjing dan Vientiane.
Secara keseluruhannya, MAHB berkata sebanyak 73 syarikat penerbangan asing dan enam syarikat penerbangan tempatan (tidak termasuk pesawat kargo) kini mengendalikan penerbangan ke 138 destinasi antarabangsa dan 31 destinasi domestik dalam rangkaian Malaysia Airports, mencerminkan pertumbuhan berterusan sektor penerbangan negara.
Pada 2024, katanya rangkaian lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA) di Turkiye merekodkan lebih 135 juta pergerakan penumpang, mencecah 96.1 peratus daripada paras pada 2019.
“Lapangan terbang di Malaysia mengendalikan 93.8 juta penumpang, mencapai 89.1 peratus daripada paras sebelum pandemik.
“Trafik antarabangsa terus menunjukkan aliran meningkat dengan 49.6 juta penumpang atau 93.1 peratus daripada jumlah pada 2019, di sebalik cabaran seperti kelewatan penyerahan pesawat dan gangguan dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.
Menurut MAHB, sektor domestik juga kekal stabil apabila merekodkan 44.2 juta penumpang atau 85.1 peratus daripada paras sebelum pandemik.
Dalam pada itu, katanya ISGA terus mencatatkan pergerakan meningkat pada 2024, menerima 41.9 juta penumpang, naik 16.7 peratus daripada 2019.
Mengenai 2025, Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pengendali lapangan terbang itu menyasarkan untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan dengan memperkenalkan lebih 10 syarikat penerbangan baharu, tertumpu pada pasaran utama di Asia dan Eropah.
“Strategi ini akan membantu memacu pertumbuhan trafik seiring dengan persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menghubungkan negara dengan dunia dan memberikan pengalaman perjalanan yang lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd