Magis Aidil lonjak Kuching City ke tangga keempat Liga Super

Magis Aidil lonjak Kuching City ke tangga keempat Liga Super

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula di tangga 13, namun melonjak pasukan hingga kedudukan keempat Liga Super antara ‘magis’ yang ditampilkan ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.

Pencapaian itu membolehkannya mencipta sejarah peribadi dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025, malam tadi.

Aidil berkata, kerjasama semua pihak terutama pemain dan pengurusan berjaya mengubah kelab kerdil kepada pasukan yang mampu mencabar lawan bertaraf gergasi dalam saingan Liga Super.

“Saya tak sangka akan menang. Ini pencalonan kali keempat saya, mungkin nombor empat itu nombor bertuah.

“Tapi semua ini hasil kerja keras pengurusan dan pemain. Trofi ini untuk mereka,” katanya.

Mengikut rekod, pengendali dari Singapura itu membawa pasukan yang musim lalu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-13 sebelum melonjak ke tangga keempat saingan 2024-2025 dan pencapaian itu dianggap sesuatu yang luar biasa.

“Kami adalah pasukan baharu, 90 peratus pemain baharu. Tetapi saya cuba gabungkan pengalaman tonggak import dan pemain pinjaman dari JDT (Johor Darul Ta’zim) untuk kukuhkan pasukan.

“Hasilnya, kami berkembang secara kolektif dan berjaya mengubah arah musim ini, sekali gus mencipta kejayaan luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Aidil turut mengakui tidak hanya berdepan cabaran dari segi teknikal dan taktikal, malah berdepan halangan untuk menyatukan pemain dari pelbagai latar belakang.

Selain itu, beliau turut memberi bayangan akan terus diberikan kepercayaan untuk kekal bersama Kuching City pada musim hadapan.

“Presiden sentiasa menyokong saya dan saya mahu balas kepercayaan itu. Musim ini hampir tamat, tapi kerja sebenar baru bermula.

“Kita akan terus membina dan memperkukuh pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top