Maertens pecah rekod dunia 16 tahun

Maertens pecah rekod dunia 16 tahun

Paris: Juara Olimpik dari Jerman, Lukas Maertens memecahkan rekod dunia acara 400 meter gaya bebas lelaki yang bertahan sejak 2009 ketika beraksi dalam Kejohanan Terbuka Stockholm, awal pagi tadi.

Perenang berusia 23 tahun itu mencatatkan masa 3 minit 39.96 saat, mengatasi rekod lama 0.11 saat yang dilakukan rakan senegaranya, Paul Biedermann di Kejohanan Dunia di Rom pada Julai 2009.

Catatan Biedermann 3:40.07 ketika itu dicapai dengan memakai sut renang poliuretana yang kini dilarang penggunaannya dalam pertandingan rasmi.

Era tersebut menyaksikan penggunaan sut renang daripada bahan poliuretana, yang secara drastik mengurangkan rintangan air dan mencetuskan gelombang rekod dunia baharu menyaksikan sebanyak 67 rekod dunia dipecahkan pada 2009 sahaja.

Kelebihan sut itu membantu perenang mencapai masa penamat lebih pantas, yang turut menjelaskan mengapa Maertens berada jauh di hadapan sepanjang separuh pertama perlumbaannya.

Pada 2010, badan induk renang dunia, Akuatik Dunia, melarang penggunaan sut tersebut dan mewajibkan sut renang diperbuat hanya daripada bahan tekstil.

Biedermann turut mengucapkan tahniah kepada Maertens melalui Instagram hari ini, dengan menulis: “Tahniah! Satu prestasi luar biasa. Saya sangat gembira kerana rekod ini kekal di Saxony-Anhalt.”

Sebelum Biedermann memecahkan rekod tersebut, ia dipegang oleh legenda Australia, Ian Thorpe, dengan catatan 3:40.08 yang dicatat pada 2002.

Maertens, yang memenangi pingat emas Olimpik dalam acara ini di Paris tahun lalu dengan masa 3:41.78, sebelum ini mempunyai rekod peribadi terbaik 3:40.33 dalam acara 400m gaya bebas, yang dicapai di Kejohanan Renang Jerman 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top